PETALING JAYA: TM Wholesale, cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa Telekom Malaysia Berhad (TM), jalin kerjasama dengan penyedia infrastruktur awan, Radian Arc untuk mengembangkan tawaran permainan awannya di Malaysia dan negara ASEAN lain.
Kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan satu sama lain untuk menyediakan pengguna dengan kandungan berkualiti tinggi dan pengalaman permainan awan.
Melalui perkongsian itu, kedua-dua syarikat akan bekerjasama untuk menggunakan titik kehadiran (PoP) baharu di Malaysia, menggunakan teknologi GPU Edge proprietary milik Radian Arc.
PoP itu akan meningkatkan penyelesaian permainan berasaskan awan TM Wholesale serta aplikasi masa nyata lain yang menggunakan teknologi serupa.
Ketersediaan platform yang teguh itu memastikan unit pemprosesan pusat (CPU) boleh menyediakan aplikasi yang berkaitan dengan kos yang lebih rendah.
Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md Deris berkata, pihaknya sentiasa komited untuk mempromosikan peralihan Malaysia kepada ekonomi digital yang maju.
“Kerjasama kami dengan Radian Arc adalah antara usaha kami untuk memenuhi permintaan permainan industri, sambil meneroka peluang dalam teknologi baharu lain serta memastikan pelanggan menikmati pengalaman digital berkualiti tinggi.
“Itu selaras dengan aspirasi kami untuk meletakkan Malaysia sebagai hab digital serantau dan mengembangkan capaian kami melalui platform pengkomputeran tepi untuk memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik untuk aplikasi dan permainan generasi akan datang,” katanya.
Berikutan pelancaran platform permainan awan itu, TM Wholesale dan Radian Arc berhasrat untuk membuat pelbagai aplikasi berasaskan awan, seperti Kecerdasan Buatan (AI), blok rantai dan Internet Kebendaan (IOT) yang boleh diakses oleh pengguna untuk mempercepatkan transformasi digital dan penerimaan pakai, yang penting kepada aspirasi digital Malaysia.
Radian Arc juga bekerjasama dengan platform permainan awan, Blacknut, untuk membawa katalog permainan mereka ke rantau ini, mengukuhkan visi TM Wholesale untuk menyediakan penyelesaian permainan awan yang lebih baik.
Melalui kerjasama itu, TM Wholesale dapat menawarkan lebih 500 permainan premium mesra keluarga kepada pembekal perkhidmatan dengan masa mula yang lebih cepat untuk pelanggan. – UTUSAN










