KUALA LUMPUR: Pilihan mata wang dalam penetapan kadar hotel terletak di tangan pengendali, menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
“Terdapat kebebasan untuk pihak hotel memilih. Jika pengusaha hotel ingin mengenakan bayaran dalam dolar Amerika Syarikat (AS), mereka boleh berbuat demikian.
“Bagaimanapun, mereka harus meneliti semua kemungkinan implikasi sebelum mengambil langkah sedemikian,” katanya pada Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Wanita Sedunia 2022 disini, semalam.
Persidangan itu dianjurkan oleh KSI Strategic Institute for Asia Pacific.
Nancy turut menegaskan kerajaan tidak akan campur tangan dalam penetapan harga kerana ia adalah soal ‘kebebasan ekonomi’.
“Pengusaha hotel mungkin hanya melihat faedah segera. Saya minta mereka juga mempertimbangkan kesan jangka panjang daripada langkah tersebut,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agong Persatuan Hotel Malaysia, Megat Shahrul Azman Abas, memberi cadangan untuk menyelaraskan kadar bilik hotel dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS), seperti yang diamalkan di negara lain.
Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia menyokong cadangan itu dan berkata, ia dapat dapat mengurangkan persaingan harga antara hotel bajet dan hotel bertaraf empat atau lima bintang serta boleh meningkatkan industri di mata pelancong. – UTUSAN










