Teksi udara: AirAsia, Skyports teroka pembangunan infrastruktur

Teksi udara: AirAsia, Skyports teroka pembangunan infrastruktur

KERJASAMA itu langkah pen­ting dalam mewujudkan rangkaian platform vertiport yang beroperasi sepenuhnya di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Capital A Berhad melalui cabang perniagaan penerbangannya, AirAsia Aviation Group Ltd. dan Skyports Infrastructure bakal merea­lisasikan perkhidmatan teksi udara di Malaysia tidak lama lagi.

Langkah itu selepas Skyports Infrastructure, pemaju infrastruktur mobiliti udara termaju (AMM) global menandatangani Surat Hasrat (LOL) dengan AirAsia Aviation bagi meneroka pembangunan infrastruktur untuk perkhidmatan teksi udara di negara ini.

Menurut AirAsia Aviation, perkongsian itu akan menggunakan kepakaran dan pengalaman penerbangan Kumpulan, serta pengetahuan dan rangkaian pasarannya.

Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia Aviation Group Limited dan Ketua Mobiliti Udara Termajunya, Kapten Ling Liong Tien berkata, kedua-dua pihak akan meneroka pembangunan platform vertiport untuk perkhidmatan teksi udara dan kerjasama itu mewakili satu lagi kejayaan dalam pembangunan industri mobiliti udara termaju di Malaysia.

“Kerjasama itu langkah pen­ting dalam mewujudkan rangkaian platform vertiport yang beroperasi sepenuhnya di Malaysia.

“Apabila industri ini semakin matang, kerjasama antara pemain penerbangan tradisional dan pakar AMM adalah penting untuk membangunkan rangkaian platform vertiport yang praktikal dan bersepadu.

“Sebagai sebuah jenama terkemuka di peringkat global dalam industri penerbangan komersial, AirAsia juga terbabit secara aktif dalam operasi AAM di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, AirAsia Aviation sebelum ini telah mengumumkan pelan pembangunan mobiliti udara dengan memajak 100 pesawat Vertical Aerospace VX4 eVTOL dari Avolon, melancarkan program latihan dron serta melanjutkan latihan dron kepada sektor berteknologi tinggi.

Sementara itu, Skyports Infrastructure pula akan menggunakan kepakaran portfolio globalnya untuk mereka bentuk dan membina infrastruktur platform pelepasan dan pendaratan pesawat penumpang eVTOL.

Skyports Infrastructure juga memainkan peranan penting dalam memajukan pembangunan kawal selia merentas pasaran, melalui kerjasama dengan badan kawal selia tempatan dan organisasi berkaitan.

“Susulan pe­ngu­muman usa­ha kami untuk membangunkan perkhidmatan teksi udara di kawasan bandar pada awal tahun ini, kami telah berusaha untuk meneroka kemungkinan perkhidmatannya di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN