PETALING JAYA: SME Bank XCESS 2022, acara padanan perniagaan nasional berbentuk hibrid membuka peluang kepada usahawan perusahan kecil dan sederhana (PKS) untuk mencari penyelesaian mengenai keperluan pembiayaan dan pembangunan perniagaan mereka.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Aria Putera Ismail berkata, acara yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 11 Ogos tersebut adalah berbeza daripada edisi sebelumnya.
Katanya, program padanan perniagaan tahunan tersebut akan dihadiri rakan perdagangan dan PKS antarabangsa.
“PKS tempatan dapat berhubung dan meneroka secara langsung dengan mereka mengenai kemungkinan untuk menjadi pembekal, pengimport atau rakan kongsi perniagaan.
“Usaha ini dijangka akan dapat mewujudkan jangkauan pasaran yang lebih luas untuk usahawan kita,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, SME Bank XCESS 2022 menawarkan peluang kepada peserta untuk mendapatkan akses kepada pelbagai pakej pembiayaan daripada SME Bank serta agensi lain di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP).
Tambahnya, peserta berpeluang menyertai Program Umbrella SME Bank, Program Pembangunan Vendor, Assets Link, Perkhidmatan Takaful dan HalalXcess.
“Selain itu, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) anak syarikat milik penuh SME Bank juga akan turut menawarkan pelbagai program pembangunan yang dibentuk untuk menyokong pertumbuhan PKS di negara ini.
“Sehingga kini, CEDAR telah melatih dan membimbing 68,599 orang peserta dalam pelbagai program latihan keusahawanan,” ujarnya.
Menurutnya, SME Bank XCESS 2022 terbuka kepada semua usahawan, namun disebabkan kapasiti terhad, kehadiran fizikal adalah berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ dan tiada had untuk peserta atas talian.
Pihak yang berminat untuk menyertai dikehendaki mendaftar di www.smebankxcess2022.com. atau melalui laman web SME Bank di www.smebank.com.my, platform media sosial SME Bank serta hubungi pusat khidmat pelanggan di 0326037700. – UTUSAN










