PETALING JAYA: Harga minyak sawit dijangka terus jatuh lebih 20 peratus kepada RM3,000 setan menjelang September, didorong oleh bekalan yang melonjak dari Indonesia.
Pengarah Godrej International Ltd., Dorab Mistry berkata, inventori dari pengeksport utama, Indonesia telah meningkat kepada 10 juta tan dan akan terus naik pada Ogos kerana pengeluaran yang tinggi, sebelum stabil pada sekitar sembilan hingga 10 juta tan.
Kata penganalisis yang mempunyai empat dekad pengalaman dalam perdagangan minyak tersebut, Indonesia mempunyai lambakan bekalan minyak sawit.
“Mereka mempunyai lambakan minyak sawit. Kapal dan semuanya digunakan untuk menyimpan minyak sawit. Apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan itu adalah terlalu sedikit dan sudah terlambat,” katanya kepada Bloomberg TV.
Mistry sebelum ini membuat ramalan tepat mengenai penurunan harga dan mengatakan bahawa Indonesia bakal melonggarkan larangan eksportnya pada bila-bila masa.
Sementara itu, beliau memberitahu, lanjutan kemerosotan harga sawit mungkin membantu mengurangkan inflasi makanan global, yang memuncak pada Mei dan Jun.
Akhir April lalu, Indonesia mengenakan larangan eksport sawit yang bertujuan untuk meredakan lonjakan harga minyak masak domestik dan mengekang inflasi makanan.
Walau bagaimanapun, pemberhentian itu hanya memberi sedikit kesan kepada harga tempatan dan sebaliknya menyebabkan limpahan simpanan minyak sawit.
Sementara itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin China akan meningkatkan import minyak sawit walaupun sedang berdepan dengan cabaran global semasa.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia susulan kenyataan Menteri Luar China, Wang Yi semasa lawatannya baru-baru ini bahawa ekonomi kedua terbesar dunia itu sedia untuk mengimport lebih banyak minyak sawit, buah-buahan tropika dan produk pertanian lain dari Malaysia.
Ujarnya, ini merupakan satu berita baik memandangkan ketidaktentuan yang menyelubungi perdagangan minyak sawit antarabangsa yang dapat dilihat dengan kejatuhan harga minyak sawit mentah ke paras di bawah RM4,000 untuk setiap tan metrik selepas melonjak melebihi RM8,000 pada Mac lalu.
“Pada 2021, pasaran China merangkumi 11 peratus daripada jumlah import minyak sawit global dan 12 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia. China mengimport 6.38 juta tan metrik minyak sawit tahun lepas, dengan 1.67 juta tan metrik dari Malaysia.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2022, harga minyak sayuran yang tinggi telah mengekang pembeli dan peniaga di China daripada mengimport secara aktif minyak sawit dan minyak masak lain, menyebabkan import minyak sawit turun 58.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, iaitu penurunan daripada 1.52 juta tan metrik kepada hanya 960,000 tan metrik.
“Antara Januari hingga Jun 2022, eksport minyak sawit Malaysia ke China berjumlah 565,842 tan metrik iaitu 175,640 tan metrik atau 31 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Zuraida, dengan cabaran ekonomi global semasa seperti kadar faedah yang tinggi, tekanan inflasi dan kebimbangan kemelesetan ekonomi, China dijangka mengimport lebih kurang 4.8 juta tan metrik minyak sawit tahun ini berdasarkan andaian bahawa kuantiti import Jun hingga Disember 2022 adalah sama seperti pada 2021. – UTUSAN










