PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$107 bilion (RM476 bilion) pada 15 Julai 2022.
Jumlah tersebut lebih rendah berbanding AS$109 bilion (RM485.58 bilion) yang dicatatkan pada 30 Jun lalu.
Menurut BNM, paras rizab itu memadai untuk membiayai 5.7 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.
“Komponen utama rizab antarabangsa itu adalah rizab mata wang asing sebanyak AS$94.6 bilion (RM421 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.3 bilion/RM5.79 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.7 bilion/RM25.3 bilion), emas (AS$2.3 bilion/RM10.24 bilion) dan aset rizab lain (AS$3.1 bilion/RM13.8 bilion),” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, aset-aset pula terdiri daripada emas dan pertukaran mata wang asing dan rizab lain termasuk SDR berjumlah RM471.03 bilion, Kertas Kerajaan Malaysia (RM12.12 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.65 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM29 bilion).
Jelas bank pusat itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar sebanyak RM100 juta, rizab (RM161.22 bilion), mata wang dalam edaran (RM159.71 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM161.42 bilion), deposit Kerajaan Persekutuan (RM7.99 bilion), lain-lain deposit (RM12.14 bilion), kertas Bank Negara (RM5.76 bilion), peruntukan SDR (RM28.25 bilion) dan lain-lain RM3.33 bilion). – UTUSAN










