PUTRAJAYA: Rangkaian kedai kopi premium, Richiamo Coffee dijangka membuat kemunculan di pasaran antarabangsa sekitar Ogos ini dengan memilih Brunei sebagai lokasi pertama.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah, perbincangan mengenai pembukaan cawangan di peringkat antarabangsa itu telah dilakukan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pembukaan dalam masa terdekat adalah di Brunei kerana perbincangan telah berlangsung sebelum PKP lagi selain kita menyasarkan big market seperti di Indonesia dan Madinah.
“Cawangan di Brunei itu kita jangka akan dibuka dalam masa dua bulan lagi kerana ia sudah dalam proses,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran cawangan Richiamo Coffee di Menara Prisma di sini semalam.
Terdahulu, pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Richiamo Coffee adalah jenama tempatan 100 peratus milik bumiputera yang memulakan operasinya sejak tahun 2015 dan telah melebarkan sayap ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak melibatkan jumlah keseluruhan 105 cawangan.
Jelas Muhammad Zamry, Richiamo Coffee yang berkonsepkan kiosk di Menara Prisma itu adalah yang pertama dilancarkan manakala cawangan-cawangan lain pula merupakan sebuah kafe.
“Kita buka kiosk ini dua minggu yang lepas dan dalam tempoh sama enam lagi cawangan turut dibuka. Berdasarkan ‘progress’ terkini, ada 30 buah cawangan baharu sedang dalam proses renovasi dan ia akan dibuka di antara sebulan hingga dua bulan lagi.
“Cawangan baharu di Sabah pula akan dibuka pada 20 Jun ini sementara di Sarawak kita sudah mempunyai cawangan yang terletak di Universiti Malaysia Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kelebihan Richiamo Coffee berbanding kafe-kafe lain di negara ini, Muhammad Zamry berkata, jenama tersebut menawarkan pengalaman kepada pelanggan untuk menikmati kopi asli premium dengan harga yang berpatutan.
“Strategi kita adalah ‘mass market’ yang menyasarkan golongan remaja, pertengahan, warga emas termasuk mereka yang berkeluarga.
“Kita bukan sahaja menyajikan aneka jenis kopi, ice blended, kek dan pastri tetapi turut mempunyai set nasi seperti asam pedas dan masak lemak cili api.
“Itu merupakan kepelbagaian yang boleh didapati oleh pelanggan kerana Richiamo Coffee adalah kafe untuk semua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Zamry berkata, Richiamo Coffee turut tidak terkecuali daripada menerima tempias ekoran kenaikan harga barang sejak akhir-akhir ini.
Justeru beliau memaklumkan terdapat kenaikan harga produk yang akan dilaksanakan sekitar pertengahan bulan ini di antara tujuh hingga 10 peratus.
“Kita memang sangat terkesan dengan kenaikan harga barang terutamanya seperti segmen kek dan pastri yang menggunakan banyak telur serta tepung gandum.
“Oleh itu, kita cadangkan kenaikan (produk) di antara tujuh hingga 10 peratus pada pertengahan bulan ini melibatkan perbezaan harga sekitar 50 sen sehingga 70 sen berbanding harga dahulu,” ujarnya. – UTUSAN










