Proton sasar selesai pesanan 1Q23

Proton sasar selesai pesanan 1Q23

Antara kemudahan yang terdapat di kilang pemasangan berteknologi tinggi Proton di Tanjung Malim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Hol­dings Berhad (Proton) me­nyasarkan untuk menyelesaikan pesanan tertunggak 90,000 unit kenderaannya menjelang suku pertama 2023 (1Q23).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, secara keseluruhan, Proton telah menerima 150,000 tempahan pada separuh pertama tahun ini, dengan 60,000 daripadanya telah diserahkan kepada pelanggan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk menyelesaikan tunggakan tersebut dalam tempoh enam bulan akan datang atau menjelang akhir tahun, dan mungkin terdapat beberapa penghantaran lebih awal, bergantung kepada model.

“Kami berharap dapat me­nyampaikan apa-apa yang tertunggak menjelang 31 Mac,” katanya sempena pelancaran barisan pemasangan berteknologi tinggi baharu Proton untuk enjin 1.5TGDI di Tanjung Malim, semalam.

Beroperasi sejak April, kemudahan itu menghasilkan enjin 1.5 TGDI (Turbo Gasoline Direct Injection), kali pertama dipasang di luar China dan merupakan salah satu barisan pemasa­ngan enjin automotif tercanggih di negara ini.

Terletak di kawasan Enjin dan Powertrain Proton Tanjung Malim, barisan pemasangan itu meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti maksimum semasa sebanyak 180,000 unit apabila beroperasi dalam tiga syif.

“Projek itu juga merupakan sebahagian daripada RM1.8 bi­lion yang diperuntukkan oleh Proton untuk menaik taraf kemudahan di Tanjung Malim,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Roslan berkata, barisan pemasangan enjin baharu Proton menunjukkan bahawa syarikat mengotakan janjinya kepada pihak berkepentingan.

“Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada 2017, salah satu komitmen kami adalah untuk melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewa­ngan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi.

“Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan syarikat di masa hadapan,” katanya.

Kilang pemasangan berteknologi tinggi Proton di Tanjung Malim.

Kilang baharu mempunyai 88 stesen terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual, barisan pemasangan 1.5 TGDI dibina menggunakan etos IR 4.0 yang menampilkan tahap automasi yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti.

Terletak dalam persekitaran yang bersih, suhu bilik yang terkawal dan mempunyai stesen anti-statik untuk membolehkan pelepasan elektrik statik untuk melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi, talian pemasangan bergerak pada sistem penghantar yang bukan sahaja lebih lancar tetapi juga lebih bersih, lebih tahan lama dan lebih murah untuk dikendalikan daripada yang menggunakan rantai.

Menurut Proton, semua pekerja di barisan pemasangan telah menjalani latihan yang luas dengan Geely serta pembekal mesin yang digunakan seperti ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

Ia juga menggunakan teknologi Internet Benda (IOT) dalam bentuk alat pengumpulan data intensif dan analisis untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian yang diperlukan dan dikekalkan.

Selain itu, 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi telah dipasang pada barisan pengeluaran untuk mengelakkan kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti dengan keupayaan pengesanan kecacatan dengan kadar segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN