PETALING JAYA: Pelan pemulihan Bina Darulaman Berhad (BDB) yang dilancarkan pada 2019 mula menunjukkan hasil, kata Ketua Pegawai Korporat BDB, Mohd. Iskandar Dzulkarnain Ramli (gambar).
Beliau berkata, hasil pelaksanaan pelan tiga tahun itu syarikat berjaya memperbaiki kedudukan kewangan Kumpulan dengan mengurangkan jumlah pinjaman secara berperingkat kepada RM105 juta pada 2021 berbanding RM124 juta (2020) dan RM132 juta (2019).
Katanya, BDB mula berdepan masalah kewangan pada 2017 apabila mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.3 juta, dan ia dirumitkan lagi dengan pandemik Covid-19.
“Kini, BDB berada dalam era pemulihan dan bakal memasuki fasa stabil. Mengikut jadual asal, kami sepatutnya telah berada dalam fasa kestabilan tetapi apabila pandemik Covid-19 melanda satu dunia termasuk pelbagai sekatan yang dilaksanakan kerajaan, ia memberi kesan kepada pelan pemulihan syarikat.
“Bagaimanapun, mengikut rekod sebelum ini sejak tiga tahun kebelakang sejajar dengan pelan pemulihan yang dilaksanakan, kami mampu merekodkan keuntungan secara konsisten.
“Namun, jika tidak dikawal dengan betul, BDB juga akan turut terjerumus dengan mencatat kerugian,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mohd. Iskandar berkata, setelah menjana kembali pendapatan, Kumpulan akan menunaikan bayaran hutang dan memperbaiki kedudukan kewangan dengan merekodkan aset bersih pada 2021 sebanyak RM20.6 juta berbanding RM17.1 juta (2020).
Selain itu, katanya, rizab tunai Kumpulan tahun lalu turut meningkat kepada RM76 juta daripada RM70 juta pada 2020.
Melangkah kehadapan katanya, Kumpulan akan memberi tumpuan kepada lima projek pembangunan yang dijangka mampu mengukuhkan kedudukan kewangannya.
Antaranya, projek rumah mampu milik di Sungai Petani, Kedah dengan kerjasama Lagenda Properties Berhad melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM560 juta.
“Pada suku ketiga tahun ini pula, kami akan melancarkan projek perumahan mampu milik berharga di bawah RM250,000.
“Projek premium outlet di Langkawi pula melibatkan nilai sewaan kasar sebanyak RM817 juta sedang dalam pembinaan, manakala projek menaik taraf jalan raya serta kerja-kerja naik taraf Loji Rawatan Air Pelubang telah bermula dengan kerja peringkat awal berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN










