PETALING JAYA: OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) dan syarikat penghantaran J&T Express (Malaysia) Sdn. Bhd. (J&T), bekerjasama untuk menjadikan penghantaran “peringkat terakhir” lebih selamat dan mudah.
Kerjasama itu membabitkan lebih 1,500 penghantar barangan menerusi penyelesaian kutipan digital OCBC Bank iaitu OCBC OneCollect.
Ia susulan kejayaan terdahulu apabila kedua- duanya bergabung tenaga pada 2021, bakal menyaksikan penyelesaian
kutipan digunakan secara beransur-ansur oleh semua penghantar barangan J&T di seluruh negara, di samping penggunaannya di dalam premis syarikat.
Pakatan itu memanfaatkan kemudahan OCBC OneCollect yang telah melayakkan OCBC Bank memenangi anugerah, untuk menyelesaikan segala cabaran yang dihadapi berkaitan kutipan pembayaran oleh para penghantar barangan apabila membuat penghantaran “peringkat terakhir”.
“Dengan kemudahan kutipan bayaran OCBC Bank, para penghantar barangan J&T Express tidak perlu mengutip tunai – yang mendedahkan diri mereka kepada risiko kecurian dan kehilangan tunai dalam perjalanan – menerusi Kod QR yang disertakan dalam aplikasi kutipan,” jelas bank itu dalam kenyataan.
Mengulas kerjasama itu, Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Transaksi OCBC Bank, Chong Lee Ying berkata, kerjasama dengan J&T Express menandakan satu lagi mercu jaya penting dalam usaha OCBC Bank mengenepikan segala halangan untuk melaksanakan penghantaran “peringkat terakhir” yang berkesan.
Kata beliau, isu keselamatan dan kerumitan sudah lama membelenggu proses penghantaran peringkat terakhir kerana penghantar barang mendedahkan diri mereka kepada risiko yang tidak disedari dan kurang diberi perhatian apabila mengutip tunai bagi pihak syarikat.
“Risiko ini mungkin kurang mendapat perhatian kerana setiap kutipan agak kecil. Tetapi jumlahnya boleh bertambah dengan setiap penghantaran, menjadikan mereka sasaran pencuri. Di samping itu, tunai boleh hilang atau disalah letak dengan mudah. Kami sukacita kerana OCBC OneCollect dapat membantu apabila perlu,” katanya.
Ketua Pegawai Kewangan J&T, David Zheng pula berkata, pihaknya memanfaatkan penyelesaian OCBC OneCollect untuk meningkatkan keselamatan bagi para penghantar barang yang lazimnya menggunakan motosikal bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar.
“Usaha menyediakan kemudahan tanpa tunai untuk mengutip bayaran tunai semasa penghantaran mungkin nampak janggal tetapi hakikatnya berkesan.
“Kami kini telah boleh menepikan sama sekali pengendalian dan penyisihan tunai di semua titik kutipan kami termasuk di cawangan kami. Ini menjimatkan masa kami untuk pergi ke bank setiap hari,” katanya. – UTUSAN










