PETALING JAYA: Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) bimbang dasar larangan merokok dan memiliki produk tembakau termasuk vape kepada mereka yang dilahirkan selepas 2005, hanya memberi kesan kepada perniagaan yang sah.
Menurut Pengarah Eksekutif MICCI, Shaun E. Cheah, pihaknya bimbang larangan itu tidak menangani isu sebenar yang dihadapi iaitu perdagangan rokok seludup berbahaya yang menyalahi undang-undang dan ramuan vape yang tidak dikawal.
Kata beliau, memperkenalkan dasar larangan tersebut terhadap perniagaan yang sah sekarang akan mewujudkan bukan sahaja kerumitan untuk perniagaan runcit tetapi juga menghantar mesej yang salah kepada komuniti perniagaan dan pelaburan bahawa yang menyalahi undang-undang terlepas manakala larangan yang melampau pula dituju kepada industri yang dikawal selia.
Tambahnya, walaupun Kerajaan telah menyatakan hasrat untuk melarangkan merokok dan memiliki produk tembakau, termasuk vape kepada individu yang dilahirkan selepas 2005, namun tiada butiran telah dikongsi mengenai cara pelaksanaan yang memerlukan sektor runcit untuk menyemak dan memastikan setiap tahun kelahiran pembeli sebelum sebarang transaksi boleh berlaku.
“Langkah mengenakan lebih banyak dasar-dasar larangan terhadap perdagangan yang sah dalam usaha untuk mengurangkan kelaziman merokok tidak akan berhasil kerana ini akan menyebabkan perokok beralih kepada produk seludup yang menyalahi undang-undang.
“Sejak 2004, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan 18 sekatan baharu yang mengakibatkan hanya 1 peratus pengurangan dalam kelaziman merokok tetapi menghasilkan lebih sejuta pengguna vape dan perdagangan haram yang meningkat daripada 30 peatus kepada 58 peratus.
“Sebaliknya, fokuslah pada produk terlarang yang tidak terkawal terlebih dahulu dengan memasang lubang bolt kerana ini akan lebih berkesan. Seterusnya ialah program pengurangan kemudaratan secara beransur-ansur untuk mengurangkan kelaziman merokok.
“Contohnya ialah kelaziman merokok di Jepun menurun sebanyak 30 peratus sejak pelancaran produk vape pada 2015,” katanya dalam kenyataan.
Cheah berkata, kerajaan sebaliknya perlu mengambil pendekatan alternatif pengurangan bahaya dan bukannya hanya meletakkan lebih banyak sekatan.
Katanya, Malaysia mempunyai isu sebenar di mana perdagangan rokok haram bukan sahaja memberi kesan kepada perniagaan yang sah tetapi juga agenda Kerajaan untuk mengurangkan kelaziman merokok.
“Penyelesaian sebenar adalah dengan memberi tumpuan kepada menangani perdagangan rokok seludup di mana lebih daripada 50 peratus perokok menghisap produk yang murah dan tidak terkawal.
“Kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih drastik untuk menangani isu ini dan bukannya membuat dasar larangan yang tidak akan memberi kesan untuk mengurangkan kejadian rokok seludup,” katanya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, Rang Undang-Undang (RUU) bagi melarang individu bawah 18 tahun merokok dan memiliki produk rokok elektronik (vape) akan dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat Julai ini.
Khairy ketika menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland awal tahun ini menyatakan hasrat Malaysia untuk menguatkuasakan larangan jualan rokok dan semua jenis produk tembakau terhadap semua individu yang lahir selepas 2005.
Katanya, larangan itu adalah bagi menangani impak negatif tembakau terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) dan berharap dapat meluluskan undang-undang tersebut tahun ini. – UTUSAN










