PETALING JAYA: Malaysia perlu mempunyai perkhidmatan pembayaran rentas sempadan yang cekap bagi menyokong perdagangan dengan negara-negara jiran serta negara di seluruh dunia.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, bank pusat kini meneruskan pelbagai usaha di pelbagai peringkat seperti memautkan sistem pembayaran pantasnya, DuitNow, dengan negara-negara jiran ASEAN.
“Ini bukan sesuatu yang sukar. Di Malaysia, DuitNow membolehkan berjuta-juta individu dan perniagaan memindahkan wang serta-merta dan lancar.
“Jika kita boleh melaksanakan sistem yang sama bagi seluruh rantau ini untuk menjadikan pembayaran rentas sempadan lebih murah, lebih pantas, lebih telus dan mudah diakses bagi lebih 600 juta penduduk di rantau ini, kesan ekonomi akan menjadi ketara.
“Ekonomi ASEAN amat bersepadu, dengan perdagangan intra-ASEAN menyumbang bahagian terbesar kepada jumlah perdagangan di ASEAN. Jadi, fikirkanlah bagaimana ini boleh membawa perubahan untuk membantu warga dan perniagaan dalam perdagangan dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi bicara kasual 1 bertema ‘Pembayaran Rentas Sempadan Lebih Murah, Lebih Telus dan Lebih Terangkum untuk Merangsangkan Pemulihan Ekonomi Serantau’ pada Festival Ekonomi dan Kewangan Digital Indonesia anjuran Bank Indonesia.
Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo; Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura, Ravi Menon; Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, Felipe Medalla; dan Timbalan Gabenor Bank of Thailand, Ronadol Numnonda turut menyertai sesi bicara itu. – UTUSAN











