MAHB peruntuk RM40 juta tingkat kecekapan operasi KLIA

MAHB peruntuk RM40 juta tingkat kecekapan operasi KLIA

ISKANDAR Mizal Mahmood (emapt, kanan) dan Isham Ishak (tengah) pada majlis menandatangani MoU KUL A-CDM di Sepang, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan melaksanakan Airport Collaborative Decision Making (A-CDM) iaitu sistem bersepadu untuk meningkatkan kecekapan ope­rasi ekosistem Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menelan belanja hampir RM40 juta.

Inisiatif baharu itu bakal menyaksikan kerjasama antara tujuh pihak berkepentingan termasuk Pihak Berkuasa Pe­nerbangan Awam Malaysia, Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Aerodarat, Pos Aviation dan Ground Team Red.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, sistem tersebut akan dapat meningkatkan On Time Performance (OTP) syarikat penerbangan selain membantu semua pihak menggunakan sumber secara strategik dan menguruskan operasi secara lebih berkesan.

“Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB meng­anggap inisiatif ini sebagai pelaburan yang berbaloi dengan faedah jangka panjang.

“Justeru, menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani hari ini (semalam), hasrat kami adalah membawa rakan kongsi berkaitan di KLIA untuk bersama-sama meneroka manfaat A-CDM,” katanya selepas majlis menandatangani MoU KUL A-CDM yang disaksikan oleh Ke­tua Setiausaha Kementerian Pe­ngangkutan, Datuk Isham Ishak.

Jelas beliau, A-CDM menggunakan data masa nyata yang boleh diakses oleh semua pihak untuk pengurusan aliran proses yang lebih lancar, sekali gus membolehkan pemain penerbangan negara memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang.

Tambahnya, MAHB turut menjangkakan peningkatan kapasiti di KLIA hasil daripada inisiatif tersebut.

“Menerusi sistem khusus, kita akan dapat menguruskan keseluruhan spektrum dengan sangat cekap contohnya se­perti pintu mana, bilangan penumpang, pelepasan dan dapat memberikan data awal kepada Jabatan Imigresen.

“Inisiatif berkenaan juga akan menyepadukan pengurusan aliran trafik udara serta mengoptimumkan penggunaan sumber, selain turut menghasilkan operasi yang lebih mampan dengan mengurangkan pelepasan karbon di lapangan terbang,” ujarnya.

Sementara itu, Isham menerusi ucapannya berkata, A-CDM bukan sekadar MoU tetapi merupakan sumber dan data untuk menjadikan ekosistem lapangan terbang lebih cekap, bergantung kepada kerjasama kukuh di antara semua pihak.

“Sebelum tempoh Covid-19, tumpuan diberikan kepada pres­tasi, kecekapan dan keuntungan tetapi dalam tempoh pemulihan sektor penerbangan ini, ia adalah masa terbaik untuk semua pihak meningkatkan produktiviti.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN