PETALING JAYA: Lonjakan jualan kenderaan akan meningkatkan pendapatan industri permotoran sekali gus menambah pendapatan kerajaan melalui cukai korporat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, peningkatan cukai korporat adalah perkembangan positif kepada ekonomi negara.
Ini kerana, kerajaan akan mempunyai lebih banyak pendapatan untuk dibelanjakan membiayai projek dan sebagainya.
“Namun, saya tidak melihat akan berlaku peningkatan penawaran pekerjaan yang ketara disebabkan kekurangan tenaga buruh asing ketika ini.
“Selain itu, gaji yang ditawarkan oleh pengilang masih belum dianggap sebagai kompetitif oleh warga tempatan,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ahmed Razman memberitahu, peningkatan jualan kereta didorong oleh beberapa faktor termasuk kadar pinjaman yang rendah sejak pandemik iaitu Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 1.75 peratus.
“Walaupun OPR telah naik kepada 2.25 peratus, kadar ini jauh lebih rendah dari kadar 3.25 peratus sebelum pandemik.
“Selain itu, kerajaan juga mengecualikan cukai cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembelian kereta sehingga akhir bulan Jun lepas,” ujarnya.
Dalam pada itu, nota penyelidikan MIDF Research melaporkan jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Jun meningkat 25 peratus kepada 63,366 unit dari bulan ke bulan berbanding Jun tahun lalu.
“Segmen kenderaan penumpang (PV) mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 31 peratus kepada 57,063 unit. Pertumbuhan dilihat merentas semua subsegmen PV dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) mendahului pertumbuhan pada 37 peratus dari bulan ke bulan.
“Segmen kenderaan komersial pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak tujuh peratus dari bulan ke bulan didorong oleh subsegmen trak sebanyak 33 peratus dan van panel (30 peratus) selaras dengan pemulihan ekonomi,” ujarnya.
Jelas MIDF Research, TIV yang tinggi bagi kereta penumpang mungkin didorong usaha untuk memaksimumkan penghantaran sebelum Kementerian Kewangan melanjutkan tarikh akhir pendaftaran untuk tempahan layak pengecualian SST yang dibuat sebelum 30 Jun. – UTUSAN










