KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam proses menguji mekanisme sistem subsidi bahan api bersasar, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, buat masa ini kerajaan sedang menguji beberapa cadangan bagi menentukan langkah terbaik pelaksanaan sebelum dikemukakan kepada Kabinet.
“Kami akan menguji dan memutuskan bila kami menemukan mekanisme dan platform bagaimana kami melaksanakannya. Kami melihat pelbagai platform kerana pengguna berbeza, oleh itu pengalaman pelanggan akan sangat berbeza di kawasan luar bandar dan di bandar
“Walau bagaimanapun, tiada garis masa untuk pelaksanaannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Tindakan dan Laporan Kelestarian edotco 2021, di sini semalam.
Kerajaan sebelum ini menganggarkan subsidi untuk tahun ini mencecah RM77.7 bilion bermakna subsidi bahan api mencecah RM30 bilion namun menurut beliau, subsidi bahan api telah mencecah RM5 bilion sebulan pada Mei lalu.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan masih mempunyai dana yang mencukupi untuk terus memberikan subsidi kepada rakyat meskipun berdepan peningkatan harga bahan api global.
Sementara itu, diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Dasar monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus, beliau menegaskan, rakyat perlu mempercayai dinamik pasaran.
“Dasar monetari dikawal oleh bank pusat manakala dasar fiskal adalah di bawah bidang kuasa kerajaan dan harus bertindak secara bebas.
“Sekiranya terdapat sebarang manipulasi atau campur tangan kerajaan dalam sebarang keputusan dasar monetari, ia akan turut menjejaskan integriti pasaran.
“Kita telah melihat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama yang kukuh untuk tahun ini pada lima peratus. Kita akan terus memantau perkara ini,” tambahnya. – UTUSAN










