Kenaikan OPR 'selamatkan' pasaran saham, ringgit

Kenaikan OPR ‘selamatkan’ pasaran saham, ringgit

Ringgit kini didagangkan lebih rendah berbanding dolar pada kadar 4.42. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam adalah bagi memastikan pasaran saham, pasaran modal negara serta ringgit tidak memberikan reaksi negatif kepada perubahan yang dibuat oleh Amerika Syarikat (AS).

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan tersebut sudah dijangka kesan daripada kenaikan faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS dua kali ganda bulan lepas dari 0.75 peratus ke 1.5 peratus.

“Kenaikan ini akan memberikan kesan kepada ekonomi domestik kerana kenaikan faedah ini juga akan dipindahkan kepada pengguna dan perniagaan, seterusnya pastinya memberi kesan kepada pemulihan ekonomi.

“Selain itu, pinjaman baharu daripada sektor perniagaan dan pengguna akan berkurangan, di mana pinjaman baharu kereta dan pinjaman rumah yang tidak diikat faedahnya akan menjadi mahal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bursa Malaysia semalam ditutup lebih rendah, jatuh 19.96 mata kepada 1,420.85, sementara ringgit pula pada 4.4240/4245 daripada 4.4150/4195 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus. Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.50 peratus dan 2.00 peratus.

Menurut Aimi Zulhazmi, bagi rakyat yang mempunyai wang tunai, inilah masanya untuk menyimpan dan menikmati untung yang lebih tinggi.

“Tekanan inflasi yang dihadapi oleh rakyat malaysia kini perlu menghadap pula kenaikan pinjaman bulanan disebabkan peningkatan OPR. BNM mempunyai satu jendela lagi tahun ini untuk melaraskan OPR sekiranya Fed AS menaikkan lagi faedahnya tahun ini.

“Walau bagaimanapun, kenaikan ini tidak boleh dielakkan kerana BNM perlu mengimbangkan sistem kewangan negara yang terbuka dengan kewangan dunia, terutamanya situasi ekonomi AS yang merupakan ekonomi terbesar dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, MPC menyatakan bahawa prospek pertumbuhan ekonomi yang positif memungkinkan mereka untuk melaras OPR ke paras yang lebih tinggi, sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

“Selain itu, situasi kenaikan inflasi yang disebabkan kenaikan faktor permintaan serta tolakan kos menjadikan kenaikan OPR adalah diperlukan bagi memperlahankan kadai kenaikan inflasi.

“Namun, pihak MPC telah menyatakan bahawa sebarang bentuk kenaikan OPR pada masa akan datang dijangka berlaku secara beransur-ansur. Oleh itu, OPR dijangka naik lagi pada September iaitu sebanyak 25 mata asas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN