PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank akan menggunakan kadar asas standard (SBR) dalam penetapan harga bagi pinjaman runcit berkadar terapung yang baharu, pembiayaan semula pinjaman atau pembiayaan runcit sedia ada dan pembaharuan pinjaman atau pembiayaan runcit pusingan mulai 1 Ogos ini.
Langkah itu dilaksanakan berikutan penguatkuasaan Rangka Kerja Kadar Rujukan yang dikemas kini oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurut bank tersebut, SBR hanya terpakai untuk pinjaman atau pembiayaan individu, manakala pinjaman atau pembiayaan bukan individu akan terus ditawarkan menggunakan Kadar Pinjaman Asas (BLR) atau Kadar Pembiayaan Islam (IFR) sebagai kadar rujukan harga.
SBR dipautkan terus kepada kadar dasar semalaman (OPR), seperti yang ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, dengan SBR digunakan sebagai kadar rujukan biasa oleh semua institusi kewangan, ia akan menggalakkan ketelusan dan kemudahan perbandingan dalam membantu meningkatkan pemahaman pelanggan tentang syarat kewangan.
“Rangka Kerja Kadar Rujukan baharu itu akan meningkatkan penghantaran keputusan dasar monetari kepada pengguna produk kadar terapung pinjaman atau pembiayaan runcit,” katanya. – UTUSAN










