LONDON: Harga minyak jatuh pada awal dagangan Asia semalam berikutan data inventori Amerika Syarikat (AS) menunjukkan peningkatan minyak mentah dan produk ditapis di tengah-tengah kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi global.
Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 68 sen atau 0.7 peratus kepada AS$98.81 (RM437.88) setong. Minyak mentah AS West Texas Intermediate susut 72 sen atau 0.8 peratus kepada AS$95.12, juga terendah dalam tiga bulan.
Pelabur telah menjual kedudukan minyak kerana bimbang kenaikan kadar faedah yang agresif untuk membendung inflasi akan mendorong kemelesetan ekonomi yang akan menjejaskan permintaan minyak.
Harga jatuh lebih daripada 7.0 peratus pada sesi sebelumnya di tengah-tengah dagangan yang tidak menentu.
Sekatan perjalanan Covid-19 yang diperbaharui di China turut mempengaruhi pasaran. Beberapa bandar dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu telah menggunakan sekatan baharu, daripada penutupan perniagaan kepada penutupan yang lebih luas, dalam usaha untuk mengekang jangkitan baharu daripada subvarian virus yang mudah berjangkit.
Sementara itu, stok minyak mentah AS meningkat kira-kira 4.8 juta tong bagi minggu berakhir 8 Julai, lapor Bloomberg.
Inventori petrol meningkat sebanyak tiga juta tong, manakala stok sulingan meningkat kira-kira 3.3 juta tong, menurut sumber pasaran yang memetik angka Institut Petroleum AS.
Pada Selasa, indeks dolar yang menjejaki mata wang berbanding sekumpulan enam mata wang, juga meningkat awal pagi semalam kepada 108.56, paras tertinggi sejak Oktober 2002.
Minyak biasanya berharga dalam dolar AS, jadi dolar yang lebih kukuh menjadikan komoditi itu lebih mahal kepada pemegang mata wang lain.
Pelabur juga cenderung untuk melihat dolar sebagai tempat selamat semasa turun naik pasaran. – AGENSI










