PETALING JAYA: Malaysia telah menawarkan kepakaran dalam teknologi getah asli kepada Turkiye, terutamanya galas getah seismik yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk industri pembinaan.
Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, ia termasuk jambatan dan landasan kereta api yang kini sedang berkembang pesat di negara berkenaan.
Kata beliau, bagi tujuan itu, Kementerian menghargai usaha Turkiye dalam memberi pengecualian cukai hasil melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye (MTFTA) yang ditandatangani pada 2019.
“Ini juga memudahkan perbincangan untuk menjadikan Turkiye sebagai hab produk komoditi Agri Malaysia ke Eropah dan Asia Tengah,” katanya dalam kenyataan.
Zuraida berkata, dalam hal perdagangan minyak sawit, kementerian juga telah menjelaskan pelbagai isu berkaitan usaha pihak tertentu yang memainkan kempen anti minyak sawit dan produk berkaitan sambil menyeru Turkiye untuk menyokong Malaysia.
Selain katanya, pelbagai mesyuarat berasingan telah diadakan dengan pemain industri di Ankara untuk mempromosikan produk agrikomoditi utama negara seperti minyak sawit, getah, kayu, koko dan lada bersempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara berkenaan baru-baru ini.
Kata Zuraida, kementerian optimistik hubungan dua hala Malaysia-Turkiye akan terus berkembang terutamanya dalam sektor perdagangan dan eksport komoditi negara seperti minyak sawit, susulan lawatan tersebut.
“Selain meningkatkan hubungan diplomatik, lawatan Perdana Menteri juga telah membina jaringan hubungan yang lebih erat antara komuniti perniagaan kedua-dua negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan Turkiye terhadap kualiti minyak sawit negara,” jelasnya.
Tambahnya, Perdana Menteri dan Presiden Receip Tayyip Erdogan juga telah menyaksikan beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara kedua-dua negara yang secara langsung menyokong usaha kementerian untuk meningkatkan eksport komoditi negara.
Menurut Zuraida, semasa lawatan itu, beliau telah bertemu Menteri Perdagangan Turkiye Dr. Mehmet Mus dan membincangkan hasrat Malaysia untuk mempergiatkan aktiviti hiliran industri minyak sawit.
Selain itu katanya, beliau turut berbincang dengan ramai pemain industri negara itu mengenai faedah minyak sawit dan menyangkal berita palsu mengenai industri sawit di Malaysia.
“Sehingga hari ini, Turkiye kekal sebagai pasaran penting bagi komoditi keluaran negara. Pada 2021, nilai perdagangan produk komoditi pertanian Malaysia dengan Turkiye bernilai RM6.02 bilion dengan nilai eksport RM5.99 bilion.
“Eksport produk pertanian komoditi Malaysia ke Turkiye meningkat 49.5 peratus daripada RM4.01 bilion pada 2020,” katanya.
Empat produk komoditi utama yang dieksport ke Turkiye adalah produk berasaskan minyak sawit berjumlah RM4.38 bilion, diikuti getah (RM1.29 bilion), koko (RM304.5 juta), dan kayu balak (RM8.43 juta). – UTUSAN










