PETALING JAYA: Pembekal teknologi gudang-sebagai-satu-perkhidmatan (WaaS) Malaysia, iStore iSend, menyenaraikan Kontena Nasional, syarikat logistik ternama sebagai rakan kongsi dalam rangkaian Fulfilment Partner Network (FPN) kendaliannya.
FPN mempunyai matlamat untuk memanfaatkan kerjasama antara pengendali-pengendali sektor penggudangan dengan iStore iSend yang menyumbangkan kepakaran teknikalnya bagi merangsang perkembangan sektor e-dagang di Malaysia dan Asia Tenggara.
Menurut iStore iSend, pihaknya merancang untuk bekerjasama dengan penggiat industri seperti Kontena Nasional bagi menyediakan rangkaian gudang yang berkeupayaan melaksanakan e-pemenuhan.
“Di pihak iStore iSend pula, akan membekalkan rekaan susun atur gudang, menyediakan sebuah pasukan yang akan memberikan latihan tentang sistem ODIN iStore iSend dan berkongsi pengetahuan mengenai e-pemenuhan.
“Selain sokongan teknikal, iStore iSend juga akan memberikan sokongan jualan dan klien kepada Kontena Nasional dan penggiat-penggiat industri lain yang menyertai FPN anjurannya,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Inisiatif Baru iStore iSend, Tommy Yong berkata, FPN merupakan perkhidmatan terkini dan terbaharu syarikat bagi membantu syarikat-syarikat logistik yang mahu terjun ke dalam dunia e-dagang.
“Kami teruja untuk menyokong perkembangan rancak sektor e-dagang di peringkat tempatan dan serantau dengan menawarkan pengurusan rantaian bekalan kepada mana-mana perniagaan tanpa mengira saiz perniagaan tersebut.
“Menerusi platform FPN, kami berupaya untuk menjalinkan satu hubungan dua hala yang menguntungkan kedua-dua pihak, seperti Kontena Nasional, kerana kami akan bersama-sama syarikat ini sewaktu ia memulakan langkah pertamanya dalam sektor e-pemenuhan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kontena Nasional, Nik Muzani Nik Abd. Aziz pula berkata, langkah menceburi sektor e-dagang dan mengembangkan kedudukan dalam industri logistik sememangnya telah lama menjadi sebahagian daripada perancangan perniagaan syarikat.
“Ia sejajar dengan misi dan azam untuk mengembangkan perniagaan gudang dan terus membekalkan perkhidmatan logistik yang cemerlang, berkualiti dan boleh dipercayai,” katanya.
Memetik laporan e-Conomy SEA 2021 oleh Bain, Google Trends dan Temasek, pasaran
Asia Tenggara merupakan antara pasaran digital yang paling pesat berkembang, dan Nilai Barangan Kasar (GMV) e-dagang rantau ini dianggarkan bernilai AS$234 bilion (RM1.93 trilion) menjelang 2025.
Pada 2021 sahaja, sektor e-dagang di enam negara Asia Tenggara iaitu Vietnam, Thailand, Filipina, Malaysia, Singapura, dan Indonesia berkembang sebanyak 62 peratus daripada AS$74 bilion (RM326.34 bilion) pada 2020. – UTUSAN










