PETALING JAYA: Prospek ekonomi Johor dijangka terus berkembang kesan daripada pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura, sekali gus membantu merancakkan lagi usaha pemulihan negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ekonomi Johor berada semula pada landasan pemulihan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu mencatat nilai RM131.1 bilion, pertumbuhan 2.4 peratus berbanding RM128 bilion tahun sebelumnya.
Ujarnya, melangkah ke hadapan, aktiviti perniagaan dapat diteruskan dan dalam masa yang sama membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri itu seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Sektor perkhidmatan bertumbuh 2.6 peratus didorong oleh peningkatan dalam subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi, subsektor kewangan dan insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.
“Sektor pembuatan turut mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.5 peratus dipengaruhi oleh peningkatan pada produk elektrik, elektronik dan optikal serta peningkatan produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
“Eksport Johor telah meningkat sebanyak 20.6 peratus dengan nilai eksport RM255.1 juta. Eksport barangan utama Johor adalah keluaran petroleum bertapis (21.9 peratus), litar elektronik bersepadu (13.6 peratus) dan barangan elektrik dan elektronik yang lain (7.2 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan Banci Malaysia 2020, penduduk Malaysia adalah 32.4 juta orang dengan Johor mencatatkan bilangan penduduk seramai 4.01 juta orang.
Pertumbuhan penduduk negeri ini meningkat pada kadar 2.2 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2020 dan Johor turut mencatatkan bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah jantina 115 lelaki bagi setiap 100 orang perempuan.
Mohd. Uzir berkata, daerah Johor Bahru merupakan tempat tumpuan utama yang menawarkan peluang pekerjaan bagi golongan muda terutama dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
“Sektor perkhidmatan menyediakan pekerjaan sebanyak 60 peratus kepada penduduk bekerja di Johor manakala pembuatan menyumbang kepada 24.1 peratus pada 2021.
“Majoriti belia yang bekerja adalah daripada pendidikan menengah dengan mencatatkan 5.3 juta (53.5 peratus) pekerja di Malaysia manakala 714 juta (60.6 peratus) bagi Johor, manakala pekerja dengan pendidikan tertiari merupakan tahap pendidikan kedua tertinggi di Malaysia iaitu 3.5 juta (35.5 peratus) sementara Johor mencatatkan 373.7 juta (31.7 peratus),” ujarnya. – UTUSAN










