PETALING JAYA: Keputusan Indonesia membekukan sementara kemasukan pekerja warganegaranya ke Malaysia akan memberi impak paling ketara terhadap sektor perladangan yang banyak bergantung kepada tenaga kerja itu bagi tujuan pungutan buah sawit.
CGS-CIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, keadaan akan menjadi lebih kritikal untuk tempoh pengeluaran kemuncak pada bulan-bulan akan datang.
“Pembekuan pengambilan pekerja asing akan menyaksikan unjuran pengeluaran minyak sawit bagi separuh kedua 2022 turun ke paras lebih rendah berbanding setahun lepas.
“Kekurangan pekerja, digabungkan dengan peningkatan kos (gaji minimum dan baja) serta kejatuhan harga minyak masak mentah (MSM), akan menjadi negatif untuk pendapatan separuh kedua 2022 sekali gus menimbulkan kemerosotan risiko kepada pendapatan pekebun Malaysia,” katanya dalam nota tinjauan.
Menurut Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain, Indonesia merupakan negara sumber pekerja asing yang penting yang menyumbang kira-kira 35 peratus pekerja asing dan 70 peratus tenaga pembantu rumah di Malaysia.
CGS-CIMB berkata, Malaysia dilaporkan kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja dalam sektor perkilangan (627,000), perladangan (120,000) dan pembinaan (550,000).
“Secara keseluruhannya, kami melihat laporan mengenai tindakan terbaharu Indonesia itu sebagai berisiko menurunkan pendapatan korporat.
“Ini berkemungkinan memburukkan lagi masalah kekurangan buruh yang dihadapi oleh semua sektor di Malaysia dan melambatkan pemulihan operasi mereka ke tahap pra-pandemik,” katanya.
Kelmarin, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono memaklumkan negara itu menghentikan sementara semua proses berkaitan penghantaran pekerja warganegaranya ke Malaysia atas alasan berlakunya pelanggaran dalam perjanjian persefahaman yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1 April lalu.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mengesahkan kementerian itu telah menerima surat makluman rasmi daripada pihak berkuasa Indonesia mengenai langkah pembekuan tersebut dan beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Kementerian Dalam Negeri. – UTUSAN










