Batik Air operator pertama guna B737-8 di Malaysia

Batik Air operator pertama guna B737-8 di Malaysia

PRAMUGARI Batik Air menunjukkan model pesawat baharu syarikat itu, Boing 737-8 di Sepang, semalam. – UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Setelah hampir sedekad beroperasi di negara ini, Batik Air muncul syarikat penerbangan tempatan pertama di Malaysia yang menggunakan model terkini Boeing 737-8.

Malahan, operator hibrid yang ditubuhkan di negara ini pada 2012 lalu turut merancang untuk memiliki 17 buah lagi model baharu itu dalam armada pesawatnya menjelang akhir tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, mereka amat berbesar hati apabila model itu diberi kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Saya sebenarnya gembira mengumumkan Batik Air berjaya mendapat izin pelepasan operasi nasional daripada CAAM untuk menerbangkan 737-8 di Malaysia dan luar negara,” katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan penjenamaan semula Batik Air yang sebelum itu dikenali sebagai Malindo Air oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

Batik Air merupakan subsidiari Lion Air Group yang berpusat di Indonesia, mula beroperasi di negara ini pada 2013 lalu dengan lebih 800 penerbangan seminggu dan meliputi 57 destinasi.

Pemegang lesen perkhidmatan udara yang ketiga berdaftar di Malaysia selepas Malaysia Airlines dan AirAsia itu ketika ini sudah ada 17 buah pesawat pelbagai model dalam armadanya.

Mengulas lanjut, Mushafiz berkata, menerusi pelancaran model baharu berkenaan, Batik Air yakin mampu mengangkut sejumlah dua juta penumpang untuk rekod sepanjang tahun ini.

“Boeing 737-8 sebenarnya amat cekap dari segi penjimatan minyak dan mampu terbang lapan jam tanpa henti selain jadi pilihan lebih 40 syarikat penerbangan seluruh dunia,” katanya.

Bahkan ujarnya, pesawat generasi keempat itu dengan kapasiti maksimum 150 penumpang telah digunakan Batik Air untuk destinasi jarak jauh ke Melbourne dan Brisbane di Australia.

Tidak ketinggalan jelasnya, model itu sudah pun terbang untuk dua destinasi serantau jarak sederhana iaitu Phuket, Thailand dan Surabaya, Indonesia yang dilancarkan baru-baru ini.

Dalam nada optimis, beliau yakin pertambahan lebih sedozen pesawat itu menjelang hujung tahun ini akan membolehkan ramai pelancong asing datang ke Malaysia dengan lebih selesa.

Langkah itu kata Mushafiz, selaras dengan hasrat Kementerian Pengangkutan yang mahu menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab utama ASEAN.

“Batik Air percaya, trend aliran trafik udara akan melonjak tinggi dalam masa terdekat sejajar pembukaan semula pintu sempadan dan pemulihan ekonomi pasca pandemik,” tambahnya.

Ditanya mengenai destinasi baharu bakal ditawarkan Batik Air, beliau membayangkan syarikat itu selepas ini akan terbang ke Pakistan dan beberapa lokasi popular di rantau Asia Timur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×