LONDON: Firma pembrokeran antarabangsa, Nomura Holdings Inc menjangkakan banyak banyak ekonomi utama akan memasuki kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang di tengah-tengah pengetatan dasar kerajaan dan peningkatan kos sara hidup.
Jelasnya, perkembangan itu mendorong ekonomi global ke dalam kelembapan pertumbuhan secara serentak.
Menurut pakar ekonomi Nomura, Rob Subbaraman dan Si Ying Toh, zon eropah, United Kingdom (UK), Jepun, Korea Selatan, Australia dan Kanada dijangka jatuh ke dalam kemelesetan bersama-sama Amerika Syarikat (AS).
Kata mereka, peningkatan tanda-tanda ekonomi dunia memasuki kelembapan pertumbuhan yang serentak, bermakna negara tidak lagi boleh bergantung kepada lantunan semula dalam eksport untuk pertumbuhan.
“Namun, bank pusat yang ingin memulihkan kredibiliti kawalan inflasi mereka mungkin tersilap dalam mengetatkan dasar terlalu banyak walaupun ia mengorbankan pertumbuhan sebelum mengurangkan kadar pada 2023,” katanya.
“Peningkatan tanda-tanda bahawa ekonomi dunia memasuki kelembapan pertumbuhan yang serentak, bermakna negara tidak lagi boleh bergantung pada lantunan semula dalam eksport untuk pertumbuhan, juga telah mendorong kami untuk meramalkan pelbagai kemelesetan,” tulis mereka, lapor Bloomberg.
Kedua-dua pakar itu berpendapat, inflasi tinggi berkemungkinan berterusan kerana tekanan harga telah merebak melangkaui komoditi kepada barangan perkhidmatan, sewa dan upah.
Jelasnya, tahap kemelesetan bagaimanapun akan berbeza-beza antara negara.
Bagi AS, Nomura meramalkan kemelesetan yang `cetek’ tetapi bagi tempoh masa yang agak panjang iaitu lima suku bermula suku akhir tahun ini.
“Di Eropah pula, kemerosotan boleh menjadi lebih `mendalam’ jika Russia menghentikan sepenuhnya gas ke Eropah,” katanya.
Nomura melihat ekonomi AS dan eropah akan menguncup sebanyak 1 peratus pada 2023.
Pakar ekonomi berpendapat, bagi ekonomi bersaiz sederhana, termasuk Australia, Kanada dan Korea Selatan, terdapat risiko kemelesetan yang lebih mendalam berbanding ramalan jika kenaikan kadar faedah mencetuskan masalah perumahan.
Korea Selatan, misalnya, dilihat menerima `pukulan’ awal paling dengan jangkaan penguncupan sebanyak 2.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.
Jepun pula diramalkan mengalami kemelesetan paling `sederhana,’ hasil sokongan dasar yang berterusan dan pembukaan semula ekonominya.
“China pula adalah luar biasa apabila ekonominya pulih dengan bantuan dasar yang akomodatif, walaupun ia masih berisiko terhadap kemungkinan pelaksanaan semula sekataan (lockdown) selagi Beijing berpegang pada strategi sifar Covid,” jelasnya. – AGENSI










