PETALING JAYA: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.
Menurut PNB, ASB 3 Didik mengisytiharkan pembayaran agihan pendapatan berjumlah RM300 juta, bersamaan 4.25 sen seunit kepada 308,197 pemegang unit yang kini memiliki 7.06 bilion unit.
“Sehingga 24 Jun 2022, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM412.65 juta.
“Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 1.89 peratus sebanyak 236 mata asas.
“Pendapatan dana itu diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.
“Pelaburan antarabangsa masih merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan sebanyak 23 peratus dan kekal lebih 20 peratus daripada keseluruhan portfolio,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Walaupun pasaran menghadapi pergolakan dan ancaman inflasi, PNB kekal teguh dalam memajukan kesejahteraan pemegang unit dengan mengagihkan pulangan yang mampan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Ujarnya, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.
Jelasnya, pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2022.
Urus niaga ASB 3 Didik telah ditangguhkan buat sementara waktu di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platform digital dan perbankan internet dari 23 hingga 30 Jun 2022.
Pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 Julai 2022. – UTUSAN










