Untung bersih TNB susut 10.5 peratus

Untung bersih TNB susut 10.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan selepas cukai (PAT) Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi Suku Pertama Tahun Kewangan 2022 (S1TK2022) menurun 10.5 peratus kepada RM0.9 bilion meskipun pendapatan Kumpulan meningkat 36.4 peratus kepada RM15.7 bilion didorong 4.0 peratus peningkatan dalam permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku dilaporkan berjumlah RM5.1 bilion manakala margin EBITDA ialah 32.8 peratus, disumbangkan oleh perbelanjaan operasi lebih tinggi yang meningkat sebanyak 64.1 peratus berikutan kenaikan harga bahan api.

Kos penjanaan tenaga, termasuk kos bahan api, membentuk lebih 65 peratus daripada tarif asas. Kenaikan harga bahan api fosil, terutama arang batu, telah meningkatkan kos penjanaan tenaga negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, biarpun dalam tempoh sukar, syarikat utiliti itu terus melaksanakan peranannya sebagai pembekal elektrik negara dan sentiasa memastikan rakyat mendapat akses kepada tenaga berdaya harap pada harga berpatutan, seterusnya menerangi kehidupan seluruh rakyat Malaysia.

“Pelaburan berterusan kami akan memastikan infrastruktur sedia ada terus beroperasi dengan cekap sambil kami mencapai Hala Tuju Kelestarian kami yang berlandaskan aspirasi menuju pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. Pada tahun-tahun mendatang juga, TNB memberi tumpuan kepada menyokong usaha Kerajaan Malaysia dalam membina semula ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Bagi menangani isu kenaikan harga bahan api fosil, Baharin berkata, TNB bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan kebajikan golongan yang memerlukan dilindungi, di samping menjaga kesinambungan rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

BAHARIN DIN

Menurut beliau, kerajaan berterusan mengekalkan rangka kerja IBR dan berjaya membendung impak turun naik harga bahan api melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Katanya, sejak pengenalan rangka kerja IBR, RM8.6 bilion rebat ICPT telah dinikmati pengguna di samping RM5.3 bilion surcaj dilepaskan kepada mereka.

“Biarpun prestasi sistem kami mencapai taraf dunia, kami tetap terus melabur dalam infrastruktur terutamanya untuk meningkatkan daya harap menerusi pelaksanaan grid pintar. Rangkaian pembekalan memainkan peranan penting dalam menggerakkan peralihan tenaga negara, jadi perancangan dan pembangunan infrastruktur secara berterusan adalah penting.

“TNB komited dalam mengekalkan prestasi sistem bertaraf dunia sekali pun dalam persekitaran operasi yang mencabar,” katanya.

Bahrin menjelaskan, TNB sedang membangunkan Utiliti Pintar menjelang 2025, bagi membolehkan pelanggan mendapat akses dan pengurusan penggunaan tenaga yang lebih baik; mengoptimumkan voltan dan aliran tenaga dua arah untuk meningkatkan integrasi sistem penjanaan tenaga milik pelanggan; sokongan penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB), meningkatkan keupayaan rangkaian dan dan kawalan automatik.

Katanya, selain prestasi kewangan dan teknikal yang kukuh, kami sedar akan keperluan untuk menyahkarbon teras dan membina perniagaan mampan sejajar hala tuju TNB.

Tahun lalu, TNB mengumumkan Hala Tuju Kelestariannya yang merupakan satu pelan tindakan dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, disokong komitmen mengurangkan 35 peratus intensiti pelepasan karbon serta 50 peratus daripada kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

Projek empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang yang bermula tahun ini, bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) tenaga boleh baharu kepada Grid Nasional apabila siap pada 2026 nanti.

Di peringkat antarabangsa, melalui Bahagian Tenaga Baharu (NED), TNB berusaha mengukuhkan perniagaannya pada masa hadapan dengan mengembangkan jejak TBB secara global melalui penggabungan dan pemerolehan, pembangunan aset dan mewujudkan perkongsian strategik dengan pemain-pemain industri TBB terkemuka.

Anak syarikat milik penuh TNB, Vantage RE Ltd (Vantage RE) telah dilancarkan pada 1 Julai 2021 untuk memiliki, mengendalikan dan mengurus portfolio aset tenaga boleh baharu TNB di United Kingdom (UK) dan Eropah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN