PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) mengeluarkan dasar kemampanannya, sekali gus membuktikan komitmennya dalam amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kebolehkesanan.
Dasar itu dibangunkan melalui rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelabur, pertubuhan bukan kerajaan dan penganalisis selain menyelaraskan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia bakal membimbing sumber dan perolehan yang beretika dan bertanggungjawab untuk semua anak syarikat dan usaha sama syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu serta rantaian bekalan syarikat.
Pengarah Eksekutif Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab, pihaknya menyedari bahawa perniagaan Top Glove mempunyai kesan terhadap alam sekitar, pekerja dan komuniti.
“Kami komited untuk menjadi peneraju kemampanan dalam penjagaan kesihatan sektor pembuatan dan menyumbang kepada masa depan yang lebih baik untuk semua pihak berkepentingan kami.
“Komitmen kami terhadap amalan ESG sentiasa kukuh. Walau bagaimanapun, dengan matlamat untuk menjadi lebih baik, Pelan Hala Tuju Dasar Kemampanan menggariskan langkah dan sasaran yang boleh diukur sehingga 2025, bermula dengan 2021 sebagai garis dasar,” katanya dalam kenyataan.
Tiga tema strategik digariskan dalam dasar itu adalah menangani perubahan iklim dan memulihkan alam semula jadi, menjadi warga korporat berpaksikan rakyat dan mencipta nilai jangka panjang melalui amalan perniagaan beretika dan libat urus dengan pihak berkepentingan secara berterusan.
Di samping menyokong ‘Tiada Penebangan Hutan’ dan ‘Perlindungan Tanah Gambut,’ Top Glove menghormati dan menyokong prinsip hak asasi manusia antarabangsa serta menegakkan standard etika yang tinggi.
Kumpulan komited untuk menetapkan tahun sasaran Karbon Sifar Bersih menjelang 2025 dan menyasarkan untuk mencapai 70 peratus kebolehkesanan ke ladang penyumberan getah asli yang membolehkan kebolehkesanan kawasan kritikal dengan nilai pemuliharaan tahap tinggi dan stok karbon tinggi sebagai serta isu sosial dan konflik. – UTUSAN










