PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperluaskan skop Program TNB Reskilling Malaysia (TRM) mencakupi sektor ekonomi gig yang kini semakin berkembang, dalam usaha membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.
Menurut Ketua Pegawai Insan TNB, Wahizan Abd. Rahman, sejajar dengan peralihan kepada pendigitalan iaitu ciri utama Revolusi Perindustrian 4.0 yang mendorong kepada peningkatan dalam aturan kerja yang lebih fleksibel dan tanpa majikan,
usaha itu akan mendorong pekerja gig melonjakkan momentum pasaran buruh tempatan.
Kata beliau, cara bekerja beransur-ansur beralih kepada kaedah remote dan hibrid, dengan bekerja dari rumah sudah menjadi norma baharu di Malaysia, dijangka mendorong peningkatan permintaan pekerja gig.
“Tetapi ramai juga yang berdepan cabaran dalam mencari kerja atau perniagaan. Kami percaya, inilah masa yang sesuai untuk peserta ekonomi gig melangkaui peranan semasa mereka dan melatih semula diri untuk masa depan lebih baik, lebih cerah,” katanya dalam kenyataan.
Kata Wahizan, inisiatif TRM membantu mereka meningkatkan keupayaan agar boleh meneroka peluang ekonomi gig yang baharu dan lebih meluas, dalam usaha menambah pendapatan masing-masing.
Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solutions (ILSAS), Siti Sarah Mohd. Said pula berkata, pihaknya mereka bentuk modul jangka pendek itu khusus untuk mempersiapkan para pekerja gig sejajar dengan kemajuan pasarannya, supaya mereka beroleh manfaat melalui penyertaan lebih bermakna berbekalkan kemahiran tambahan.
Jelasnya, latihan ditaja sepenuhnya oleh TNB dan syarat kemasukan ke program TRM adalah pekerja gig mempunyai perjanjian perkhidmatan yang ditandatangani pekerja dan syarikat (penyedia perkhidmatan); atau telah berjaya mendaftarkan perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia; atau mempunyai kelayakan perniagaan atau perjanjian berkaitan
dengannya.
Pemilihan pekerja gig akan dilaksanakan melalui dua sesi pada bulan ini. Pekerja gig yang berjaya akan mengikuti latihan dalam bidang kemahiran digital, penyenggaraan penyaman udara, automasi dron untuk Industri 4.0 dan pembentukan minda bisnes.
Pekerja gig yang berminat boleh mendaftar di shorturl.at/nHPVY.
Program TRM dilaksanakan oleh TNB ILSAS, di Bangi semenjak 2020 apabila TNB diamanahkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat yang terjejas susulan pandemik Covid-19, bagi mendapatkan padanan pekerjaan kemudian menjalani program pemahiran atau latihan semula. – UTUSAN










