Teroka sumber tenaga baharu

Teroka sumber tenaga baharu

TNB telah mula meningkatkan portfolio sumber tenaga RE dalam ladang angin luar pesisir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu segera meneroka sumber tenaga boleh baharu secara lebih meluas supaya dapat mengurangkan kebergantungan kepada arang batu dieksport dari negara jiran Indonesia yang diperlukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membekalkan tenaga elektrik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya negara terus bergantung kepada bekalan arang batu dari Indonesia, pastinya ia berisiko tinggi.

“Ini bukan sahaja menyebabkan ketidakstabilan bekalan dan kenaikan harga yang tidak menentu malah harga yg dibeli dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) menyebabkan kita terdedah kepada kenaikan pertukaran asing.

“Ia kesan berganda, sudahlah harga naik dan harga pula naik dalam dolar AS, ini membebankan negara.

“Jika harga arang batu dinaikkan, maka kesan kenaikan harga terpaksa ditanggung oleh para pengguna dan perniagaan serta memberi kesan kepada kadar inflasi negara,” katanya.

Semalam, media melaporkan, kerajaan berjaya menyelesaikan isu bekalan arang batu apabila Indonesia bersetuju untuk mengikat kontrak bekalan bernilai RM13.1 bilion, minggu lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sejak awal tahun ini Malaysia berdepan isu bekalan arang batu apabila negara jiran itu menghentikan 70 peratus bekalan yang diperlukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan keputusan Indonesia menghentikan eksport selama lima bulan sejak Januari lalu, susulan pembentukan dasar baharu bagi memenuhi permintaan domestiknya.

Bagi menangani masalah ini, Affin Bank Bhd. dan Affin Islamic Bank Bhd. melancarkan pembiayaan Solar-i AFFIN, pelan pembiayaan peribadi yang lebih mampan bagi membolehkan pelanggan runcit membeli dan memasang Sistem Solar Fotovoltaik (SPV) di kediaman dan bangunan milik mereka.

Tegas Aimi Zulhazmi, kerajaan perlu serius beralih kepada sumber tenaga boleh baharu kerana banyak tenaga alternatif seperti tenaga solar, angin dan ombak yang semula jadi namun masih belum diesploitasi.

Menurutnya, ini kerana tiada cubaan untuk mengkomersialkan penemuan-penemuan tersebut yang mungkin kerana kita kita sudah lama selesa bergantung kepada tenaga yang ada tanpa mahu memikirkan penggunaan yang lebih mesra alam.

“Negara perlu segera berubah kepada tenaga boleh baharu kerana walaupun fosil dan karbon adalah murah, namun ia membinasakan alam sekitar. Tahap kebergantungan ini juga akan memberikan masalah kepada kita sekiranya Indonesia sekali lagi menghentikan eksport arang batu ke negara kita.

“Kita lihat banyak negara maju telah beralih kepada tenaga alternatif secara besar-besaran. Mereka telah melabur jumlah wang yang banyak kerana menyedari yang mereka tidak dapat mengawal turun naik bekalan tenaga seperti minyak mentah, arang batu dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN