fbpx

Tempahan Toyota Veloz dibuka

PETALING JAYA: UMW Toyota Motor membuka tempahan untuk Toyota Veloz, model crossover premium tujuh tempat duduk dengan spesifikasi tercanggih untuk pengalaman pemanduan terbaik.

Dilengkapi dengan ciri-ciri tersendiri, Toyota Veloz 1.5 serba baharu itu boleh ditempah di semua bilik pameran sah Toyota mulai hari ini dengan harga anggaran atas jalan tanpa insurans RM95,000.

Toyota Veloz yang dilancarkan di Indonesia November tahun lalu merupakan model pengganti Toyota Avanza dalam model kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen B untuk keselesaan keluarga.

Model pemasangan tempatan (CKD) itu tersedia dengan lima pilihan warna iaitu Silver Metallic with Black Roof; Blue Metallic with Black Roof; White; Metallic Bluish Black; dan Red Metallic.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, model tujuh tempat duduk baharu itu merupakan kenderaan berkualiti cemerlang dan sesuai untuk rakyat Malaysia yang mempunyai gaya hidup aktif.

“Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Toyota Veloz serba baharu ini akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia. Di UMW Toyota Motor, kami komited untuk berusaha lebih banyak untuk pelanggan Toyota kami dan memastikan bahawa mereka mengalami hanya yang terbaik.

“Toyota Veloz serba baharu CKD ini menggantikan Toyota Avanza dalam pasaran MPV segmen-B Malaysia. Toyota Avanza diperkenalkan secara tempatan pada 2004 dan UMW Toyota Motor telah menjual lebih 178,000 unit model tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Lebih besar, lebih berani dan lebih baik, prestasi pemanduan Toyota Veloz serba baharu adalah lebih baik daripada Avanza sebelumnya dengan platform dan suspensi pacuan roda hadapan (FWD) baharunya. 

Penumpang Toyota Veloz boleh menikmati kualiti dalaman kelas premium inovasi Toyota terkini kerana ruang dalamannya yang sangat luas iaitu sebesar MPV segmen-C, selain mempunyai susunan tempat duduk yang fleksibel untuk pelbagai tujuan.

Model serba baharu ini dikuasakan oleh enjin 1.5L (2NR-VE) dan sangat cekap dengan dengan anjakan berurutan CVT 7-kelajuan yang menyediakan transmisi kuasa cekap untuk pecutan lancar dan berkuasa, sambil memastikan kecekapan bahan api yang sangat baik.

Toyota Veloz juga dilengkapi dengan Brek Letak Elektrik (EPB) yang menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang mudah dalam situasi harian seperti menunggu lampu isyarat bertukar hijau. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!