RPG Commerce berjaya kumpul RM127 juta dana

RPG Commerce berjaya kumpul RM127 juta menerusi pusingan pendanaan Siri B

Dari kiri: Celine Choo, Melvin Chee, Nelson Ting, Elvin Chee dan Josh Lee, para Pengasas Bersama RPG Commerce
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RPG Commerce, syarikat e-dagang sosial terus ke pelanggan (Direct-To-Consumer/DTC), berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM127 juta dalam pusingan pendanaan Siri B yang diketuai oleh East Ventures, UOB Venture Management, Vertex Ventures SEA & India (VVSEAI) dan RHL Ventures.

Menurut syarikat itu, VVSEAI sebelum ini mengetuai pendanaan Siri A dan telah melabur semula untuk pusingan Siri B.

Jelasnya, dana yang dikumpul akan disalurkan untuk mengukuhkan proses teknologi dan pembangunan syarikat pada masa hadapan.

Ia juga akan digunakan untuk membangun dan mengembangkan portfolio jenama bertaraf dunia untuk RPG bagi menghasilkan produk pengguna yang membawa pembaharuan.

“RPG kini menjadi hos kepada 10+ jenama antarabangsa milik sendiri, termasuk jenama pakaian & peralatan rumah Thousand Miles, Bottoms Lab, Montigo, Cosmic Cookware dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif RPG Commerce, Melvin Chee berkata, misi RPG Commerce adalah untuk memberi nilai yang melebihi jangkaan para pelanggan.

“Kami bangga dapat memberikan produk dan perkhidmatan yang membawa perubahan dan mengutamakan pelanggan dengan menghasilkan barangan penting berkualiti tinggi menerusi model DTC kami yang boleh diakses dengan mudah oleh pelanggan dan dihantar secara terus ke tempat mereka.

“Matlamat kami bagi pusingan pendanaan ini adalah untuk menambah bilangan bakat di seluruh organisasi dan meningkatkan keupayaan teknologi kami. Kami juga mahu meluaskan pilihan jenama kami untuk terus membawa perubahan kepada landskap pengguna,” katanya.

Tambah beliau, dengan mengubah model perniagaan DTC utama syarikat, “perkongsian infrastruktur sokongan” DTG membolehkan perniagaan dan jenama lain memanfaatkan rangka kerja teknologi RPG menerusi perkongsian.

“Gigih dalam menyokong perniagaan-perniagaan bebas dengan produk dan penyelesaian yang diminta, RPG juga mahu memperkasakan perniagaan-perniagaan kecil melalui program inkubasi dan pemerolehan bagi meluaskan rangkaian produk-produk yang mengutamakan pelanggan meliputi pelbagai bidang yang berbeza,” jelas Chee.

Pengasas Bersama dan Rakan Pengurusan East Ventures, Willso Cuaca pula berkata, RPG mengambil pendekatan berbilang kategori dan berbilang jenama sambil mengekalkan model penyatuan sebagai pilihan bagi menjadikan syarikat sebagai pengusaha yang unik dan berjaya dalam landskap e-dagang.

Jelas beliau, perniagaan DTC perlu membina momentum di peringkat antarabangsa bagi memastikan kejayaan.

“RPG menyerlah sebagai sebuah syarikat yang mampu membina pangkalan pelanggan yang setia di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Eropah dengan membina kepercayaan pelanggan melalui produk yang berkualiti dan inovasi rantaian bekalan.

“Kami teruja untuk memberi sokongan kepada RPG dalam usaha pengembangan mereka yang seterusnya. Kami mahu melihat jenama ini meluaskan portfolio mereka dan berkembang dalam pasaran baharu di seluruh rantau Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×