PTPTN anjur program FLICK 2022

PTPTN anjur program FLICK 2022

PESERTA bergambar bersama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar (berdiri, tengah) dan Ahmad Dasuki Abdul Majid (berdiri, tiga kanan) selepas penyampaian sijil penyertaan program FLICK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menganjurkan Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya (FLICK) bagi membantu meningkatkan akademik dan kebajikan para pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Ia merupakan antara komitmen PTPTN dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyumbang kepada kebolehpasaran graduan ke arah menyediakan graduan yang berkualiti sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Program melibatkan sebanyak 14 IPTA di seluruh negara itu memfokuskan kepada memberi pendedahan kepada para pelajar tentang ilmu pengurusan kewangan dan membantu pelajar membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam kerjaya serta peluang-peluang pasaran selepas tamat pengajian.

Selain menyasarkan penyertaan seramai 100 pelajar daripada setiap IPTA terlibat yang terdiri dalam kalangan peminjam PTPTN tahun akhir pengajian, program selama satu setengah hari itu turut menyediakan pelbagai pengisian menarik oleh penceramah dan pakar motivasi berpengalaman.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, isu kebolehpasaran pasaran tidak wajar dipandang ringan.

“Justeru, penganjuran program FLICK dengan kerjasama IPTA yang terlibat merupakan satu pendekatan proaktif untuk melengkapkan pelajar dengan pelbagai kemahiran sebagai persediaan sebelum melangkah ke alam kerjaya sekali gus meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran pekerjaan.

“Program FLICK ini juga memberi pendedahan berkenaan kemahiran pengurusan kewangan yang sesuai dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Program FLICK Pelajar IPTA Tahun 2022 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang yang berlangsung pada 25 hingga 26 Jun 2022.

Ahmad Dasuki berkata, pelajar perlu diberikan kesedaran awal bahawa mengutamakan penabungan merupakan antara cara terbaik dalam mengurus kewangan dan membuat pilihan bijak dengan memilih produk simpanan yang menawarkan manfaat serta pulangan yang berbaloi.

“Produk simpanan PTPTN iaitu Simpan SSPN merupakan antara pilihan bagi instrumen simpanan untuk persediaan pendidikan sebagai jaminan masa hadapan,” ujarnya.

Sebelum ini, Program FLICK Tahun 2022 telah berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 14 hingga 15 Jun 2022 dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 18 hingga 19 Jun 2022 serta akan disusuli dengan 11 IPTA lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN