Proton buat penghantaran pertama ke Afrika Selatan

Proton buat penghantaran pertama ke Afrika Selatan

X50 antara model Proton yang mendapat sambutan tinggi di pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas menandatangani perjanjian untuk melantik CMH Group sebagai pengedar kenderaan Proton di Afrika Selatan pada bulan April, pembuat kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) telah membuat penghantaran pertama ke negara itu pada Jumaat lalu (27 Mei 2022).

Proton berkata, stok penghantaran itu terdiri daripada Proton X50, X70 dan Saga, dan ia juga merupakan hantaran pertama ke negara berkenaan semenjak 2012.

Katanya, kapal yang mengangkut kenderaan itu berlepas dari Westport, Klang, dan dijangka tiba di Durban, Afrika Selatan pada Julai ini.

Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, penghantaran itu satu lagi pencapaian penting bagi Proton pada tahun ini.

“Afrika Selatan merupakan pasaran yang matang dengan banyak pesaing tetapi kami yakin Proton X50, X70 dan Saga mempunyai kombinasi ciri-ciri dan nilai untuk wang yang mencukupi untuk bersaing di sana,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, CMH Group sedang berusaha untuk menyediakan rangkaian pengedaran mereka dan Proton merancang untuk melancarkan modelnya pada akhir suku ketiga tahun ini.

Kata beliau, pada minggu lalu, beberapa ahli pengurusan CMH Group telah melawat Malaysia untuk bermesyuarat bersama Proton serta melawat pengedar dan kilang di Tanjung Malim.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, penambahan jualan eksport amat penting bagi Proton jika ingin mencapai sasaran jangka masa panjang.

“Syarikat perlu memasuki lebih banyak pasaran baru untuk meningkatkan lagi jumlah jualan, dan kami telah membuat pelaburan di Tanjung Malim dan bagi operasi luar negara untuk memastikan kami dapat menyambut sebarang peluang yang bakal diterima,” katanya.

Menurut Proton, penambahan jualan eksport pada tahun ini adalah kerana peningkatan permintaan sebanyak 77 peratus dan 31 peratus bagi Proton X50 dan X70.

Bagi suku pertama tahun ini, jumlah keseluruhan eksport telah bertambah sebanyak 175 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2021 dan kadar penumbuhan itu dijangka akan terus naik kerana syarikat mempunyai sasaran untuk menambah jualan sebanyak 300 peratus.

“Untuk mencapai sasaran itu, operasi pemasangan tempatan (KD) perlu diperluaskan. Buat masa kini, operasi sedang berjalan di Pakistan, Kenya dan Bangladesh dengan Sri Lanka bakal sertai senarai negara pada separuh tahun kedua 2022. Bagi tiga tahun sebelum ini, Proton telah menambahkan pegangan jumlah bagi kenderaan eksport Malaysia dari 12.8 peratus pada 2019 ke 30.2 peratus pada 2020 dan 61.0 peratus pada 2021 walaupun ada banyak halangan akibat pandemik Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN