Prospek pasaran saham, ringgit lemah - Utusan Malaysia

Prospek pasaran saham, ringgit lemah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan dalam pasaran saham Bursa Malaysia dan mata wang hanya bersifat sementara dan prospek kedua-dua pasaran tersebut adalah lemah buat masa ini, menurut penganalisis ekonomi.

Pagi semalam, Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit, mengambil petunjuk daripada kerancakan pergerakan semalaman di Wall Street.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.07 mata kepada 1,457.95 daripada penutupan Selasa pada 1,457.88, sebelum kembali mencatat penurunan.

Bagaimanapun, pada pukul 5 petang semalam, penanda aras FBM KLCI jatuh -15.82 mata kepada 1,442.06. 

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 579 berbanding 267 manakala 312 kaunter tidak berubah dan 1,117 kaunter tidak diniagakan.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, kenaikan sementara itu berlaku mungkin kerana pedagang melihat peluang untuk berdagang dalam penanda aras teknikal.

“Jika dilihat, pasaran saham kita sekarang berada dalam keadaan terlebih jual yang bermaksud ia sangat murah. Jadi, prospek untuk naik itu memang ada, begitu juga dengan ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, prestasi saham dan ringgit buat masa ini didorong oleh faktor luaran terutamanya suasana kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang mengamalkan dasar monetari lebih terhad dengan kenaikan kadar faedah yang lebih agresif.

Jelasnya, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) sebelum ini telah menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, mesyuarat seterusnya pula akan diadakan pada Julai.

“Pengerusi Fed AS, Jerome Powell telah memberi gambaran bahawa kenaikan kadar faedah 50 hingga 75 mata asas boleh dijangkakan pada bulan depan. Itu telah mendorong lebih banyak percakapan tentang kemelesetan ekonomi.

“Kebiasaannya, apabila berlaku kenaikan kadar faedah yang ekstrem, harga saham dan mata wang ringgit akan turun banyak.

“Justeru, prospek kedua-dua pasaran itu dijangkakan akan sangat lemah susulan mesyuarat FOMC yang akan diadakan pada bulan depan dengan jangkaan kenaikan kadar faedah yang agresif,” ujarnya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya