Pesawat Malaysia Airlines guna SAF

Pesawat Malaysia Airlines guna SAF

Pesawat MAS mula menggunakan bahan api mampan dalam penerbangannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) melalui Malaysia Airlines, telah melancarkan penerbangan penumpang pertama menggunakan bahan api penerbangan mapan (SAF) antara lain mengandungi minyak masak terpakai.

Ia menggunakan pesawat Boeing 737-800 untuk penerbangan MH603 antara Kuala Lumpur – Singapura dan MH606 Singapura – Kuala Lumpur. Pesawat terbabit menggunakan gabungan kira-kira 38 peratus SAF dan bahan api jet konvensional.

Berbanding bahan api jet fosil konvensional, SAF diperbuat daripada 100 peratus sisa boleh diperbaharui dan sisa bahan mentah seperti minyak masak terpakai, boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus.

Ketua Pegawai Kumpulan MAG, Phillip See berkata, MAG menyasarkan untuk menjadi perintis dalam penggunaan SAF yang dihasilkan oleh Neste untuk penerbangan di Malaysia.

“Ia juga adalah sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk mencapai pembangunan sosio-ekonomi dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Kami telah mengambil langkah proaktif dalam meminimumkan jejak karbon kami dari bawah melalui langkah yang diambil dalam operasi kami termasuk program kecekapan bahan api seperti SAF.

“Dengan bermulanya penerbangan penumpang pertama kami menggunakan SAF, kami menggalakkan penumpang untuk menyertai kami dalam perjalanan ini sambil kumpulan mengambil langkah yang perlu untuk mengurangkan kesan alam sekitar.

“Kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak penerbangan yang dikuasakan oleh SAF dan melangkah ke hadapan, kami berhasrat untuk menjadikan SAF pilihan tenaga yang lebih bersih dan berdaya maju untuk penerbangan tetap kami menjelang 2025,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pelepasan penerbangan penumpang Malaysia Airlines yang pertama menggunakan SAF di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani berkata, selaras dengan komitmen Petronas ke arah mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050, meneroka SAF di KLIA adalah kemajuan semula jadi bagi pihaknya dengan bahan api penerbangan menjadi salah satu produk utama Kumpulan.

Ujarnya, dengan dua penerbangan terbabit, PDB telah menunjukkan keupayaan dan kesediaan infrastrukturnya dalam membekalkan SAF di KLIA bagi menyokong agenda kelestarian industri penerbangan.

SAF dihasilkan oleh Neste, pengeluar SAF terbesar di dunia, bahan api itu dibekalkan melalui perjanjian pembekalan dengan PETCO Trading (UK) Ltd., yang juga adalah cabang pemasaran dan perdagangan Petronas berpangkalan di Eropah, manakala pengendalian produk dan pengisian minyak dijalankan PDB di KLIA.

Mengulas lanjut See berkata, pihaknya akan menawarkan lebih banyak penerbangan penumpang menggunakan SAF selepas ini.

“Ia akan turut diperluaskan ke rangkaian syarikat penerbangan lain di bawah kami termasuk Mas Wings dan Firefly.

“Harga tiket penerbangan tidak akan terjejas dengan penggunaan SAF ini biarpun kosnya adalah lebih tinggi berbanding menggunakan bahan api konvensional. Sebaliknya, harga tiket akan ditentukan oleh permintaan pasaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN