KEHADIRANNYA ditunggu-tunggu. Keberadaannya di jalan raya digembar-gemburkan. Prestasi enjinnya diviralkan. Adakah ini semata-mata satu cara promosi dan pemasaran oleh Suzuki Malaysia atau ia sememangnya “Raja Underbone Malaysia”?
Suzuki Raider sebenarnya terlebih dahulu dikenali dengan nama Suzuki Belang kerana jentera ini bukanlah satu model yang baharu dipasaran. Model ini dahulunya dijual sebaris dengan kapcai-kapcai unik yang seiras dengannya seperti Honda Sonic, Cagiva Stella atau Momos. Suzuki Belang ini juga telah melalui evolusi daripada enjin 2 lejang ke 4 lejang, serta pertukaran sistem pengurusan bahan api iaitu daripada sistem karburator kepada suntikan. Sejarahnya ditanah air kita bukan hanya setakat itu, malah, jenama Suzuki ini telah berganti ‘tuan’ daripada Lion Suzuki ke Suzuki Assemblers Malaysia, sehinggalah kini dengan pemilik dan pengedar baharu iaitu Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. Entah kenapa, pemilik baharu Suzuki Malaysia ini memilih untuk mengekalkan nama Raider seperti yang digunakan di Thailand untuk pasaran tempatan.
Suzuki Raider 150i adalah antara rekaan motosikal kapcai yang agak unik. Rupa fizikal yang paling utama dapat dikenal pasti ialah ketiadaan pelindung kaki atau Leg Shield, yang umumnya dikenali ramai sebagai cub. Kalau model-model motosikal yang berkapasiti besar mempunyai dua jenis kumpulan utama iaitu ada fairing (model-model sportbikes) dan tanpa fairing (juga disebut naked bikes atau street bikes), maka Suzuki Raider ini bolehlah dikategorikan sebagai motosikal naked.
Apakah yang menyebabkan Suzuki Raider ini terlebih glamor daripada motosikal-motosikal kapcai yang lain?

PENAMPILAN
Seperti yang diterangkan sebelum ini, rupa fizikalnya yang tidak didatangkan dengan pelindung kaki atau ‘cub’, menjadikan ia lebih unik dalam pasaran. Apabila anda melayangkan kaki melepasi pelananya untuk duduk diatasnya, ternyata anda merasakan bahawa Suzuki ini agak ‘kurus’ apabila dipandang dari atas.
Pulas kunci di ruang kunci untuk menghidupkan jentera ini, dan serta merta mata anda akan tertumpu kepada meter digital sepenuhnya. Paparan skrin LCD yang cukup terang untuk penunggangnya melihat data-datanya samada dalam keadaan panas terik, apatah lagi ketika menunggang di malam hari.
Kedua-dua roda yang dibekalkan bersaiz 17 inci, namun tidak seperti model-model 150cc yang lain, tayar hadapannya hanya bersaiz 70/90 sementara tayar belakang pula hanya bersaiz 80/90. Walaupun saiz ini agak saiz yang normal untuk mana-mana motosikal “underbone” ataupun kapcai, namun sejak kita disajikan oleh saiz tayar belakang yang lebar seperti Y15 atau pun RS150R, ternyata tayar belakang Suzuki ini tampak ‘halus’ atau seperti bahasa pasar mat-mat motor, ia digelar “Tayar Sotong”.
Raider 150i juga mempunyai ruang di bahagian rangka tengah untuk menyimpan barang-barang kecil seperti telefon bimbit. Ruang tengah ini agak cukup praktikal dengan kebergantungan kita pada telefon bimbit untuk kehidupan seharian, malah memberikan sedikit perlindungan daripada hujan dan sebagainya.

PENUNGGANGAN
Ditenung sudah, dibelek pun sudah. Tibalah masanya untuk menunggang jentera kurus ini. Sebaik sahaja anda memacu gear pertama, dan motosikal ini mula meluncur, anda akan dapat merasakan bahawa handle bar Suzuki ini agak rendah. Ini sudah tentunya bakal membongkokkan sedikit postur anda ketika menunggang serta ditambah pula dengan kedudukan kedua-dua pemijak kaki yang agak tinggi. Kedua-dua kedudukan ini (handle dan pemijak kaki), sangat tidak sesuai untuk anda gunakan dalam hiruk pikuk dan kesesakan jalan raya dalam kota. Bahu dan mungkin tulang belakang akan mula terasa sengal dan sakit sebaik sahaja selepas 30 minit pertama. Kedua-dua kaki anda juga bakal terasa tidak selesa kerana ‘terlipat’ akibat kedudukan pemijaknya yang tinggi.
Kecualilah anda membeli jentera ini dengan nawaitu untuk menunggang seperti seorang pelumba cub prix atas jalan raya tiap-tiap hari, Raider 150i tidak begitu sesuai untuk mereka yang mungkin sudah berumur atau pun individu-individu yang terlibat dalam e-hailing.
Kedua-dua penyerap hentakannya berfungsi dengan sangat baik dalam apa jua permukaan jalan raya dan gaya penunggangan. Sama ada anda mengambil selekoh secara agresif atau pun menunggang di jalan raya-jalan raya yang berlapis-lapis, berlubang, dan dalam keadaan yang teruk. Namun apa yang pasti, para pemiliknya sudah tentu bakal menukar terutamanya penyerap hentakan belakang kepada yang lebih keras dan kenyal. Sistem breknya juga agak baik dalam pelbagai tahap kelajuan dan tidak mengecewakan.
Tangki bahan api Suzuki Raider ini hanya berkapasiti sebanyak 4 liter. Sekali lagi dinyatakan, ia agak kurang sesuai digunakan untuk pekerjaan penghantaran kerana tangki minyaknya yang kecil. Begitu pun, sekiranya anda masih mengekalkan spesifikasi standard ini, anda dapati , 4 liter minyak petrol ini mampu membawa anda sejauh lebih kurang 120km dalam kelajuan lingkungan 110-120kmj.
Topik kelajuan maksimum sering digembar-gemburkan dalam internet, dan saya mengujinya sendiri dan mendapati, Raider ini dengan mudah mencapai di meter selaju 130-140kmj. Kebolehan ini bagi saya amat memberangsangkan dan mula yakin bahawa jentera ini adalah jentera kapcai atau underbone standard yang terpantas dalam pasaran.
Nisbah gearnya saya rasakan agak rapat antara satu-satu gear. Ini menyebabkan anda harus kerap menukar gear untuk mencapai prestasi optimumnya. Secara ringkasnya, anda rasakan seolah-olah sedang mengendali sebuah jentera 2 lejang. Bagi yang minat menunggang secara agresif, ini mungkin menjadi satu faktor yang anda cari-cari.
Disebalik kehebatan prestasi enjinnya, sifat fizikalnya yang ‘kurus’ itu bagaimana pun menjadi faktor kelemahan jentera ini. Apabila mula mencapai tahap kelajuan melebihi 120kmj, Raider ini mula bergoyang akibat berat keseluruhannya agak ringan daripada saingan-saingannya. Keadaan ini lebih ketara ketika anda dipukul angin kuat ketika penunggangan. Tayar ‘sotong’nya itu juga tidak membantu dari segi kestabilan, dan perasaan tidak yakin juga mula timbul ketika mengambil selekoh tajam. Ini adalah kerana anda sedar bahawa hanya keluasan selebar 2 jari anda sahaja yang bersentuhan antara permukaan tayar dan jalan raya untuk memberi cengkaman.

KESIMPULAN
Suzuki Raider 150i sememangnya dicipta untuk kelajuan, penunggangan agresif dan lebih menjurus kepada ‘top speed’. Saiznya juga yang agak kurus, dan posisi menunggang yang agresif sekali gus menidakkan para penghantar e-hailing menggunakannya urusan kerja, kecuali badan anda jenis tahan lasak.
Suzuki Raider juga pernah `dikritik’ oleh pihak keselamatan kerana ‘kebolehan mencapai kelajuan yang melampau’ baru-baru ini, namun ini ternyata lebih meningkatkan keinginan anak-anak muda untuk turut serta dalam kelompok ‘pencinta kelajuan’ dengan memiliki jentera ini.
Oleh itu, saya merumuskan, apa yang diperkatakan oleh peminat dua roda di luar sana mengenai Suzuki Raider 150i ini, adalah benar belaka! – UTUSAN









