PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton) menyifatkan penamatan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk industri automotif merupakan perkembangan positif kepada industri.
Jelasnya, ini kerana insentif sedemikian bertujuan untuk memberi kesan jangka masa pendek sahaja dan bukannya digunakan secara berterusan.
“Dalam kes ini, tujuannya untuk merangsang jualan yang terjejas teruk oleh sekatan Covid-19. Hasrat Itu telah berjaya tetapi kosnya adalah hasil cukai kepada kerajaan.
“Dengan ekonomi kini dibuka semula sepenuhnya ke tahap pra-pandemik, pemansuhan subsidi adalah adil dan akan membantu kerajaan dalam meningkatkan hasil yang boleh diarahkan ke sektor yang memerlukan bantuan,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Tengku Zafrul berkata, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.
Menurut Proton, sepanjang insentif itu diberikan, jualan kenderaannya pada 2020 adalah sebanyak 109,716 dan pada tahun 2021 pula mencecah 114,708.
“Ini bermakna, pada tahun-tahun yang paling dipengaruhi oleh pandemik Covid-19, jualan Proton telah meningkat untuk dua tahun berturut-turut. Ada banyak sebab kenapa ini telah berlaku tetapi antaranya adalah insentif pengecualian cukai yang telah memberi kesan yang positif kepada pembeli,” jelasnya.
Megenai jumlah tempatan yang tidak dapat dipenuhi, syarikat kereta nasional itu berkata: “Seperti jenama kereta yang lain, Proton ada tempahan yang belum lagi dipenuhi akibat kekurangan bahagian seperti cip yang menjejaskan jumlah pengeluaran kami. Tetapi, dengan pengumuman bahawa tempoh pendaftaran telah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023, kami yakin akan dapat memenuhi permintan pelanggan bagi semua model.”
Tambahnya, buat masa kini, keutamaan akan diberi kepada usaha untuk memenuhi permintaan yang sedia ada dan pada masa yang sama, tetap menjalankan kempen untuk menggalakkan tempahan kereta serta menjalankan persiapan untuk melancarkan model baharu di masa hadapan.
Mengulas isu alat ganti, Proton berkata, pusat servisnya di seluruh negara telah pun mempunyai stok komponen bergerak pantas (FMP) sebanyak tiga bulan.
“Ini bagi memastikan pelanggan dapat menyelenggara kenderaan mereka pada bila bila masa tanpa tempuh menunggu. Kami menjangkakan bagi alat ganti yang lain pula, akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Mitsubishi Motors pula berkata, pelanjutan tempoh pendaftaran membolehkan pihaknya memenuhi tunggakan tempahan yang telah dibuat.
“Kami masih mempunyai pesanan tertunggak untuk dipenuhi. Jadi, kesan (penamapatan insentif pengecualian SST) ada atau tidak, mungkin perlu lihat dalam beberapa bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN










