PETALING JAYA: Sebanyak 60 peratus pekerja sepenuh masa di Asia Tenggara memilih fleksibiliti berbanding bekerja empat hari seminggu, sebanyak 37 peratus.
Bagi pekerja di Malaysia, pilihan fleksibiliti lebih tinggi iaitu sebanyak 62 peratus, berbanding 48 peratus memilih minggu bekerja lebih pendek.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Qualtrics, fleksibiliti juga menjadi pendorong lebih besar untuk syarikat di Asia Tenggara mengekalkan pekerja sebanyak 66 peratus, berbanding bekerja empat hari seminggu (50 peratus).
“Dengan organisasi Asia Tenggara terus memperhalusi cara bekerja selepas dua tahun bekerja jarak jauh, dan pemimpin di Malaysia masih berbahas kebolehlaksanaan amalan bekerja empat hari seminggu, dapatan Qualtrics menunjukkan kepentingan berjaya menjajarkan program baharu yang diterima pakai dengan keperluan dan jangkaan pekerja.
“Bagi sepertiga pekerja di Asia Tenggara (33 peratus), fleksibiliti bermakna kebebasan menentukan jam bekerja. Selebihnya mentakrifkan fleksibiliti sebagai keupayaan bekerja dari mana-mana lokasi (24 peratus), memilih hari mereka bekerja (19 peratus), atau dinilai berdasarkan prestasi, bukan bilangan jam bekerja (18 peratus). Responden daripada Malaysia menyuarakan pilihan yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Qualtrics berkata, penyelidikan dijalankan pada Mei 2022, merangkumi 3,415 responden berusia 18 tahun atau responden lebih berusia yang bekerja sepenuh masa atau secara sambilan merentasi pelbagai industri di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Singapura.
Katanya, soalan berkaitan dengan minggu bekerja empat hari hanya dijawab oleh pekerja sepenuh masa, berjumlah 2,846 responden dengan 557 responden dari Malaysia.
Kajian itu mendapati, walaupun pelbagai program rintis bagi minggu bekerja empat hari menunjukkan banyak manfaat seperti peningkatan kesejahteraan di Iceland dan peningkatan produktiviti di Jepun, namun banyak responden percaya bahawa akan ada timbal balas.
“Hampir tiga perempat (72 peratus) di Asia Tenggara mengatakan bahawa mereka jangkakan masa bekerja akan menjadi lebih panjang, manakala 58 peratus mengatakan bahawa pelanggan akan kecewa, dan prestasi syarikat akan terjejas.
“Di Malaysia, sebanyak 68 peratus responden mengatakan tempoh bekerja lebih panjang, manakala pelanggan yang kecewa (62 peratus) dan prestasi syarikat (65 peratus) sebagai perkara yang paling membimbangkan mereka,” katanya. – UTUSAN










