Pasaran Asia jatuh, tukaran mata wang bercampur

Pasaran Asia jatuh, tukaran mata wang bercampur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Kebanyakan saham Asia jatuh dalam sesi dagangan pada Isnin disebabkan kebimbangan kemelesetan ekonomi yang semakin ketara, didorong oleh isyarat daripada Rizab Persekutuan (Fed) AS dan bank-bank pusat di Eropah.

Saham Korea Selatan mendahului senarai kerugian dengan indeks penanda arasnya jatuh sehingga 2.5 peratus, mencecah paras terendah sejak November 2020, apabila sentimen pelabur menjadi suram berikutan kebimbangan kemelesetan global.

Pelabur di seluruh dunia menjangkakan langkah yang lebih agresif daripada Fed, selepas ia menyatakan komitmennya untuk membendung inflasi adalah “tanpa syarat”.

Gabenor Fed, Christopher Waller pada Sabtu berkata, beliau akan menyokong satu lagi kenaikan kadar faedah iaitu sebanyak 75 mata asas pada Julai ini.

“Namun, dengan pasaran AS bercuti pada Isnin, “mungkin terdapat kurang petunjuk sentimen risiko keseluruhan dengan volum dagangan yang lebih ringan untuk memulakan mingguan”, kata pakar strategi pasaran, Yeap Jun Rong dalam satu kenyataan, lapor Reuters.

Pasaran ekuiti di Kuala Lumpur dan Jakarta susut lebih 1 peratus, manakala Bangkok susut 0.4 peratus pada sesi keempat kerugian berturut-turut.

Mata wang (forex) Asia pula didagangkan bercampur-campur, dengan won Korea Selatan turun 0.6 peratus, pada tahap terendah sejak Mac 2020 dan menjadi satu daripada mata wang berprestasi paling teruk di Asia tahun ini.

Menteri Kewangan negara itu mengulangi pendirian pihak berkuasa baru-baru ini bahawa mereka akan mengambil langkah yang perlu untuk menstabilkan pasaran mata wang sekiranya berlaku turun naik yang berlebihan.

Sementara itu, yuan China menyerlah dengan kenaikan 0.6 peratus selepas negara itu mengekalkan kadar pinjaman penanda aras untuk pinjaman korporat dan isi rumah.

Rupiah Indonesia jatuh sedikit sebanyak 0.1 peratus, menjelang keputusan dasar oleh bank pusatnya akhir minggu ini.

Pelabur akan melihat sama ada Bank Indonesia mengekalkan kadar polisinya atau sebaliknya, seperti yang berlaku dengan kebanyakan bank pusat serantau yang lain, dalam tindak balas terhadap keputusan Fed.

Turut jatuh peso Filipina sebanyak 0.4 peratus, mencecah paras terendah lebih tiga tahun setengah semasa sesi dagangan semalam. Gabenor bank pusat Filipina yang akan datang telah memberi isyarat prospek siri kenaikan kadar tahun ini yang boleh berlanjutan sehingga 2023 untuk `menjinakkan’ inflasi.

Dalam pada itu, dolar Singapura dan rupee India masing-masing meningkat sebanyak 0.3 peratus dan 0.2 peratus. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN