Musk ugut tinggalkan Twitter

Musk ugut tinggalkan Twitter

ELON Musk mengambil alih Twitter dengan tawaran sebanyak AS$44 bilion. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Elon Musk mengugut untuk meninggalkan Twitter, apabila beliau secara terbuka menuduh syarikat media sosial itu melanggar perjanjian penggabungan dengan tidak memberikan data yang dimintanya me­ngenai spam dan akaun palsu.

Dalam surat kepada ketua undang-undang, dasar dan amanah Twitter, Vijaya Gadde, Musk mendakwa, Twitter “secara aktif menentang dan menggagalkan hak maklumatnya” seperti yang digariskan oleh perjanjian itu.

“Ini adalah pelanggaran material yang jelas terhadap kewajipan Twitter di bawah perjanjian penggabungan dan Musk menyimpan semua hak yang terhasil daripadanya, termasuk haknya untuk tidak melaksanakan transaksi dan haknya untuk menamatkan perjanjian penggabu­ngan,” tulis seorang peguam yang mewakili Musk kepada syarikat itu, lapor CNN.

Musk menuntut agar Twitter menyerahkan maklumat tentang metodologi ujiannya untuk menyokong dakwaan bahawa bot dan akaun palsu membentuk kurang daripada 5 peratus pangkalan pengguna aktif platform, angka yang telah dinyatakan oleh syarikat secara konsisten selama bertahun-tahun. Musk juga telah meminta untuk melakukan penilaian bebasnya sendiri berdasarkan data Twitter.

Saham Twitter jatuh 5 peratus pada awal dagangan Isnin. Malah sebelum perkembangan terkini itu, saham Twitter didagangkan jauh di bawah tawaran pengambilalihan Musk sebanyak $54.20 (RM238.21) sesaham, berkemungkinan menunjukkan keraguan pelabur tentang perjanjian yang sedang dijalankan.

Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Parag Agrawal, telah menyokong metrik spam lama syarikatnya.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, syarikat itu berkata: “Twitter telah dan akan terus bekerjasama berkongsi maklumat dengan Musk untuk menyempurnakan urus niaga itu mengikut syarat perjanjian penggabungan.”

Syarikat itu juga berkata, ia berhasrat untuk “menutup urus niaga dan menguatkuasakan perjanjian penggabungan pada harga dan terma yang dipersetujui.”

Musk mendakwa bahawa bilangan sebenar akaun spam berkemungkinan lebih banyak, berpotensi setinggi 90 peratus. Musk sebelum ini berkata, pengambilalihan itu “tidak boleh bergerak ke hadapan” sehingga syarikat itu memberikan “bukti” metrik spamnya.

Beberapa penganalisis Wall Street berkata, ia mungkin kes ‘penyesalan’ pembeli dan usaha untuk menekan Twitter supaya merundingkan harga yang lebih rendah untuk perjanjian $44 bi­lion (RM193.38 bilion) itu.

Ini kerana, sejak dari awal lagi terdapat persoalan bagaimana Musk akan membiayai pengambilalihan itu.

Surat pada Isnin mencetuskan spekulasi bahawa Twitter mungkin “menahan data yang diminta kerana kebimbangan terhadap apa yang akan didedahkan oleh analisis Musk mengenai data itu.”

Surat itu juga mendakwa, Twitter telah berusaha untuk menyekat akses kepada maklumat dengan mentafsir perjanjian penggabungan secara sempit, supaya maklumat itu akan berada di luar skop keperluan kontrak Twitter. Bagaimanapun, surat itu mendakwa, walaupun dengan definisi Twitter yang sempit, ia masih mempunyai kewajipan untuk memberikan maklumat berkenaan.

Dalam pemfailan sekuriti berasingan, Twitter sebelum ini mendedahkan bahawa Musk telah mengetepikan klausa usaha wajar dalam perjanjian itu yang boleh memudahkannya untuk menarik diri daripada perjanjian.

Dalam perjanjian untuk membeli Twitter, Musk menjadikan bot spam pada platform sebagai isu utama. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN