PETALING JAYA: Di sebalik peningkatan ketara harga beberapa kategori barangan pengguna, MR. DOLLAR, peruncit harga tetap mengambil komited dalam mengekalkan harga RM2 bagi 10,000 produk popular mereka.
Ia bagi membantu rakyat Malaysia yang sudah bergelut dengan kesan pandemik Covid-19 dan banjir di beberapa kawasan di seluruh negara awal tahun ini untuk mengawal kewangan mereka yang terhad.
Ketua Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh berkata, pihaknya memahami kesusahan rakyat pada hari ini dengan pelbagai isu yang memberi kesan pada rantaian bekalan global.
Ujarnya, masalah itu seterusnya mengakibatkan kenaikan harga oleh peruncit yang tidak dapat dielakkan.
“Bagaimanapun, dengan analisis data yang ketat serta hubungan baik secara langsung kami dengan pengilang global, MR. DOLLAR komited untuk mengekalkan harga RM2 pada lebih 10,000 barangan harian.
“Ini merupakan salah satu cara kami membantu rakyat Malaysia dengan memberi lebih nilai disamping membantu mereka berjimat-cermat agar mereka yakin untuk berbelanja demi memenuhi keperluan keluarga,” katanya dalam kenyataan.
MR. DOLLAR menawarkan pelbagai rangkaian produk dalam 10 kategori iaitu coklat dan manisan; kudapan dan biskut; bahan masakan; barangan runcit; minuman; produk bakeri; makanan dingin dan sejuk beku; perkakasan; serta alat tulis, mainan dan barangan sukan yang semuanya berharga RM2 atau RM5.
Selain harga tetapnya yang menarik, MR. DOLLAR turut menawarkan persekitaran membeli-belah selesa dengan lorong yang luas dan berhawa dingin untuk pelanggan.
MR. DOLLAR turut menawarkan keperluan perlindungan peribadi seperti pelitup muka, pensanitasi tangan, pelindung muka, disinfektan, dan kit ujian Covid-19 dengan harga rendah.
Pada April 2022, MR. DOLLAR menegaskan untuk tidak menaikkan harga barangan di cawangan-cawangan mereka dalam kempen ‘Harga Kami Tetap Sama’ dengan menyatakan bukan masanya untuk menaikkan harga barangan kepada pengguna. – UTUSAN










