MR D.I.Y tonjol bakat seni baharu

MR D.I.Y tonjol bakat seni baharu

ADRIAN Ong (berdiri, barisan depan, enam dari kanan) bersama pemenang MR D.I.Y. Art Competition.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertandingan seni anjuran peruncit perkakas rumah Kumpulan MR D.I.Y berjaya menonjolkan bakat seni baharu dalam kalangan anak muda tempatan.

Dalam pertandingan yang bermula 3 Mac hingga 5 Mei itu, sebanyak 21 bakat muda daripada ribuan penyertaan, telah dipilih sebagai pemenang dengan menerima hadiah bernilai lebih RM30,000 pada majlis yang diadakan di pusat beli-belah 1 Utama, baru-baru ini.

Mohd. Syazwan Abd. Rahim, 28, dari Shah Alam telah terpilih sebagai pemenang utama dengan karya seni bertajuk `Upside Down’ dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.

Pemenang lain ialah Koo Yean Nil, 28, dari Subang Jaya yang memenangi Anugerah Juri, manakala Nur Ain Amirah Mohd. Nazir, 23, dari Kelantan pula memenangi Anugerah Pilihan CEO dengan hasil seni bertajuk `Kahwin Era Pandemik.’ Yean Nil dan Nur Ain Amirah masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM6,000 dan RM4,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y, Adrian Ong berkata, pandemik Covid-19 amat mencabar untuk semua rakyat Malaysia, namun, ia juga telah menimbulkan pelbagai kebaikan.

“Sejak dua tahun lalu, kami telah menyaksikan begitu banyak situasi di mana rakyat Malaysia telah menawarkan diri untuk menghulurkan bantuan, mengedarkan makanan dan barangan keperluan, mengambil berat antara sama lain, menawarkan peluang pekerjaan dan bantuan kewangan, serta berkongsi beban – seterusnya memberi inspirasi kepada seruan #KitaJagaKita,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, memandangkan Malaysia kini memasuki fasa endemik, ia adalah masa yang terbaik untuk merakamkan semangat bersatu hati ini untuk masa hadapan, dan bersama menantikan hari-hari mendatang.

“MR D.I.Y. Art Competition bertujuan memupuk penghargaan ke atas karya seni Malaysia, yang akan memperkaya dan mempelbagaikan ekosistem kreatif. Malaysia mempunyai begitu ramai bakat-bakat kreatif, namun tidak banyak platform untuk mereka mempamerkan kebolehan masing-masing kepada audiens yang lebih besar.

“Sebagai jenama kelahiran Malaysia, MR D.I.Y ingin menyediakan sebuah platform yang mampan untuk bakat-bakat ini diasah dan diperkembang; ia merupakan salah satu cara kami menambah nilai kepada negara dan kehidupan rakyat Malaysia. Kami berharap agar organisasi-organisasi lain akan turut sama berbuat demikian,” tambah Ong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN