PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan scam atau penipuan menggunakan telefon.
Jelasnya, baru-baru ini pihaknya mengesan penipuan di mana seorang pemanggil telah memperkenalkan dirinya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bursa Malaysia untuk meminta derma.
Menurut Bursa Malaysia, pihaknya tidak memberi kuasa kepada sebarang aktiviti tidak berlesen, atau mana-mana Ahli Lembaga atau kakitangannya meminta sebarang sumbangan atau derma melalui telefon, panggilan WhatsApp, mesej teks atau mana-mana saluran dalam talian lain.
“Bursa Malaysia menasihatkan mereka yang menerima panggilan sedemikian supaya berhati-hati dan tidak melayan ajakan untuk “menyertai” skim atau permintaan derma sedemikian,” katanya dalam kenyataan.
Bursa Malaysia turut menggariskan beberapa langkah yang boleh diambil oleh orang ramai sekiranya berdepan dengan sebarang permintaan yang mencurigakan.
Langkah itu termasuk:
- Jangan balas e-mel, mesej teks atau panggilan mencurigakan yang meminta derma,
- Jangan klik pada alamat web atau e-mel yang menyalahguna gambar mana-mana institusi berautoriti,
- Sahkan sama ada perniagaan itu dilesenkan, diluluskan atau dibenarkan oleh badan kawal selia yang berkaitan,
- Jangan sekali-kali berkongsi butiran peribadi seperti nombor kad pengenalan, kata laluan atau nombor akauan bank, dan
- Laporkan kepada pihak berkuasa jika anda telah diganggu atau ditekan untuk membuat transaksi, pelaburan atau menerima deposit wang.
Jelasnya, sekiranya orang ramai mempunyai sebarang keraguan, boleh menghubungi Bursa Malaysia di 03 – 2732 0067 atau e-mel [email protected]. – UTUSAN









