Keuntungan bersih Glomac meningkat 17 peratus pada TK2022

Keuntungan bersih Glomac meningkat 17 peratus pada TK2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Glomac Berhad (Glomac) mengumumkan keputusan kewangan belum diaudit bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 30 April 2022 (S4 TK2022), dengan untung sebelum cukai Kumpulan meningkat 17 peratus kepada RM25.1 juta, berasaskan hasil berjumlah RM73.6 juta.

Untuk tahun kewangan penuh, Kumpulan mencatatkan perolehan berjumlah RM259.5 juta serta untung sebelum cukai sebanyak RM57.5 juta.

“Walaupun, prestasi terjejas akibat perintah kawalan pergerakan pada TK2021, keuntungan telah mencatatkan peningkatan hasil daripada inisiatif penjimatan kos yang dilaksanakan sepanjang tahun kewangan,” jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Glomac berkata, projek yang telah menyumbang kepada hasil TK2022 termasuk pembangunan semasa seperti Saujana Perdana, Lakeside Boulevard, Plaza@ Kelana Jaya, 121 Residences, dan juga Sri Saujana di Johor.

Jelasnya, lembaran imbangan Glomac yang kukuh mencerminkan kejayaan Kumpulan menguruskan aktiviti perniagaan dan aliran tunai di kemuncak pandemik Covid-19.

Selain itu, tahap hutang bersih Kumpulan adalah sederhana pada 0.23x pada penghujung April 2022, manakala tunai dan deposit tunai adalah berjumlah RM215.4 juta.

“Kedudukan kukuh ini memberikan sumber modal secukupnya kepada Kumpulan untuk melaksanakan aktiviti pembangunan pada tahun kewangan baharu.

“Nilai aset bersih sesaham Kumpulan juga meningkat kepada RM1.49 daripada RM1.45 pada penghujung April 2021. Pengarah telah mencadangkan pembayaran dividen satu peringkat akhir sebanyak 1.5 sen sesaham biasa, yang tertakluk kepada kelulusan pemegang saham di Mesyuarat Agung Tahunan akan datang,” katanya.

Dengan pembukaan semula sektor ekonomi, Glomac merancang untuk mengukuhkan aktiviti pembangunan dengan pelancaran baharu bernilai RM470 juta pada TK2023 yang akan mengekalkan tumpuannya kepada segmen kediaman pasaran pertengahan.

Antara perkembangan penting, termasuklah pelancaran awal GreenTec Puchong, sebuah pembangunan kediaman bersepadu baharu seluas 15.3 ekar dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dianggarkan mencecah RM1.56 bilion.

Fasa awal termasuk unit SOHO dan pangsapuri perkhidmatan berjumlah RM312 juta yang bakal dilancarkan pada lewat TK2023. Pelancaran lain tahun ini termasuk fasa baharu rumah teres dua tingkat PRIMROSE di Saujana KLIA dan pangsapuri bertingkat tinggi di Lakeside Residences.

“Malaysia kini berada di fasa endemik COVID-19. Pembukaan semula ekonomi merupakan satu perkembangan positif bagi semua sektor, termasuk pembangunan hartanah. Jualan belum dibil Glomac kini berjumlah RM542 juta sekali gus memberikan Kumpulan ketelusan pendapatan sambil aktiviti pembinaan diteruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN