PUTRAJAYA: Kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati kadar inflasi di Malaysia boleh mencecah 11.4 peratus sekiranya kerajaan menghapuskan semua subsidi yang dinikmati rakyat ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika ini, kadar inflasi negara berada pada 2.8 peratus bagi Mei berbanding 2.3 peratus dan 2.2 peratus masing-masing pada April dan Mac lalu.
Beliau berkata, jumlah RM77.3 bilon subsidi yang diberikan kerajaan ketika ini penting bagi menstabilkan harga bagi petrol, diesel, minyak masak, ayam, telur dan gas petroleum cecair (LPG).
“Kita cukup sedar bahawa rakyat mengeluh dengan kenaikan harga barangan ketika ini dan kita juga harus sedar bahawa tanpa subsidi kerajaan, kadar inflasi akan meningkat.
“Justeru, kita harus bersyukur dengan agihan subsidi yang begitu besar diumumkan kerajaan.
“Jadi, kita ada dua pilihan, jika kita hapus subsidi, rakyat akan tertekan dan kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik namun, kerajaan memilih untuk menjaga kesejahteraan rakyat, ” katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Statistics Data Warehouse (StatsDW) 2.0, di sini semalam.
Ditanya sama ada kadar defisit negara akan terus meningkat susulan agihan subsidi terbesar dalam sejarah negara itu, Mustapa berkata, ketika ini, kerajaan masih mengekalkan kadar defisit enam peratus tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan langkah-langkah penjimatan bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal kukuh.
“Kerajaan perlu melihat kepada langkah-langkah penjimatan termasuk mengurangkan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan sekiranya krisis ekonomi berlarutan,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan menyemak kembali beberapa projek mega sebagai langkah penjimatan kewangan negara, Mustapa berkata, langkah itu juga boleh diambil sekiranya keadaan ekonomi dunia tidak berubah dan semakin mencabar.
Kata beliau, langkah itu penting bagi memastikan kedudukan ekonomi negara kekal teguh dan berdaya saing.
“Ia (langkah penjimatan perbelanjaan mengurus dan pembangunan) belum dibuat keputusan tapi ia langkah yang boleh diambil kerajaan.
“Ekonomi dunia ketika ini agak dinamik dan berubah dari semasa ke semasa susulan kenaikan harga bahan api dan keadaan geopolitik Russia – Ukraine yang tidak banyak berubah.
“Jadi, dalam tempoh itu, harga komoditi, harga makanan haiwan dan baja sudah pasti berada pada tahap yang tinggi,” katanya.
Kabinet sebelum ini meluluskan tiga projek infrastruktur berimpak tinggi, iaitu Transit Aliran Massa 3 (MRT3), menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo dan projek tebatan banjir selain Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan unjuran perbelanjaan subsidi ditanggung kerajaan pada tahun ini ialah RM77.3 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah negara.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, StatsDW 2.0 yang dilancarkan DOSM boleh membantu kerajaan dalam proses pemulihan ekonomi menerusi paparan maklumat statistik terkini dan menyeluruh.
Katanya, segala data yang dikumpulkan dan ditafsir oleh DOSM akan digunakan kerajaan bagi pembentukan, pelaksanaan, penilaian dan semakan semula dasar awam negara. – UTUSAN










