Inflasi meningkat 2.3 peratus pada April

Inflasi meningkat 2.3 peratus pada April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.3 peratus pada April berbanding 2.2 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya manakala inflasi teras turut mencatat peningkatan kepada 2.1 peratus berbanding 2.0 peratus bulan lalu.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kenaikan inflasi disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan di luar rumah, tambang perjalanan udara serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

Selain itu katanya, eksport mencatat peningkatan 20.7 peratus berbanding 25.3 peratus pada Mac, mencerminkan kekukuhan yang berterusan merentas produk eksport Malaysia.

“Pada masa hadapan, prestasi eksport akan terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran dan peningkatan kitaran teknologi global.

“Di samping itu, harga komoditi yang tinggi dan peningkatan pengeluaran akan memberikan dorongan selanjutnya kepada eksport. Namun, prospek perdagangan terus bergantung pada gangguan rantaian bekalan global dan konflik ketenteraan di Ukraine,” katanya.

Sementara itu, BNM berkata, pembiayaan bersih terus berkembang pada 4.6 peratus, disokong pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul iaitu sebanyak 5.0 peratus pada April berbanding 4.6 peratus bulan sebelumnya

“Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul mampan pada 4.9 peratus, mencerminkan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan.

“Pertumbuhan pengeluaran pinjaman pada bulan itu lebih tinggi sedikit iaitu 10.8 peratus berbanding 10.2 peratus pada Mac di samping terdapat peningkatan dalam pertumbuhan bayaran balik pinjaman kepada 8.5 peratus berbanding 3.2 peratus pada bulan sebelum.

“Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 5.7 peratus berbanding 4.5 peratus pada Mac, mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja apabila pertumbuhan pengeluaran modal kerja melebihi bayaran balik pinjaman,” ujarnya.

Menurut bank pusat, ringgit menurun nilai sejajar dengan mata wang utama dan serantau. Penurunan ini susulan aliran keluar portfolio asing pada April apabila pelabur memperuntukkan semula dana mereka kepada aset selamat seperti di Amerika Syarikat (AS).

“Kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank-bank terus menyokong aktiviti pengantaraan. Sistem perbankan terus mengekalkan kedudukan mudah tunai yang utuh dan mencatatkan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai yang kukuh pada 156.7 peratus.

“Pertumbuhan pendanaan yang stabil, terutamanya bagi deposit runcit, terus menyokong aktiviti pengantaraan bank-bank. Nisbah Pendanaan Stabil Bersih agregat berada pada 119 peratus pada Mac,” katanya.

Tambah BNM, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan kekal stabil masing-masing pada 1.6 dan 0.9 peratus.

“Bank-bank terus berhemat dalam peruntukan pinjaman untuk menjadi penampan terhadap potensi kerugian kredit, dengan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan sebanyak RM40.2 bilion.

“Jumlah peruntukan berada pada 1.8 peratus sebagai bahagian daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 113.4 peratus daripada pinjaman terjejas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN