MELBOURNE: Harga minyak meningkat lebih AS$2 (RM8.78) pada awal dagangan selepas Arab Saudi menaikkan harga jualan minyak mentahnya untuk Julai, secara mendadak.
Ia merupakan petanda betapa ketatnya bekalan walaupun selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) bersetuju untuk mempercepatkan peningkatan pengeluaran dalam tempoh dua bulan akan datang.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$1.80 (RM7.90) atau 1.5 peratus kepada AS$121.52 (RM535.04) setong selepas mencecah paras tertinggi kepada AS$121.95 (RM535.48), melanjutkan kenaikan 108 peratus dari Jumaat lalu.
Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) turut meningkat AS$1.63 (RM7.16) atau 1.4 peratus kepada AS$120.50 (RM529.12) setong selepas mencecah paras tertinggi tiga bulan pada AS$120.99 (RM531.27). Kontrak hadapan WTI meningkat 1.7 peratus pada Jumaat.
Arab Saudi menaikkan harga jualan rasmi (OSP) untuk minyak mentah Arab Light ke Asia kepada premium AS$6.50 (RM28.54) berbanding purata penanda aras Oman dan Dubai. Ia peningkatan daripada kadar premium AS$4.40 (RM19.32) pada Jun, menurut pengeluar minyak neagra, Aramco 2222.SE pada Ahad.
Langkah itu dibuat walaupun keputusan OPEC+ minggu lalu mahu meningkatkan pengeluaran pada Julai dan Ogos sebanyak 648,000 tong sehari atau lebih 50 peratus daripada yang dirancang sebelum ini.
Rakan kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, beberapa hari selepas membuka spigot lebih luas, Arab Saudi mengambil sedikit masa untuk menaikkan OSP untuk Asia yang merupakan pasaran utamanya, melihat kesan ke atas niaga hadapan dan spektrum pasaran minyak.
“Arab Saudi juga meningkatkan OSP Arab Light ke wilayah barat laut Eropah kepada AS$4.30 (RM18.88) di atas Brent untuk Julai, meningkat daripada kadar premium AS$2.10 (RM9.22) pada Jun.
“Bagaimanapun, ia mengekalkan kadar premium untuk pasaran AS pada AS$5.65 (RM24.81) pada Argus Sour Crude Index (ASCI),” katanya, lapor Reuters.
Langkah OPEC+ untuk meningkatkan pengeluaran secara meluas dilihat tidak mungkin memenuhi permintaan.
Ini kerana, beberapa negara anggota termasuk Rusia, tidak dapat meningkatkan pengeluaran mereka, manakala permintaan melonjak di AS di tengah-tengah musim memandu dan China melonggarkan sekatan pergerakan Covid-19. – AGENSI










