SINGAPURA: Kapal persiaran mewah, Genting Dream kendalian Resorts World Cruises, tiba di Marina Bay Cruise Centre Singapore (MBCCS) petang semalam dalam persiapannya untuk melakukan pelayaran komersial pertama pada 15 Jun ini.
Sebagai kapal persiaran peranginan pertama tiba di pelabuhan Singapura, Genting Dream akan menyediakan pelancong dengan pengalaman gaya hidup pelayaran eksklusif, dipenuhi dengan pelbagai tawaran antarabangsa yang menarik.
Resorts World Cruises akan menyediakan pengembaraan pelayaran terbaik di atas Genting Dream, kapal pertama dalam armada “Resorts Cruising on High Seas”, iaitu pengembangan jenama Resorts dari darat ke lautan – yang mempunyai 46 hartanah membabitkan 8 negara, 4 benua dan 80 juta pelawat setahun.
Genting Dream menawarkan kemudahan 35 makanan dan minuman, terdiri daripada restoran dan bar khusus serta disahkan halal, selain makanan untuk golongan vegetarian.
“Pengunjung juga boleh menikmati persembahan antarabangsa dan filem blockbuster di teater Zodiac dengan kapasiti 1,000 tempat duduk yang mengagumkan; taman tema di laut dengan kolam dan gelongsor air, ziplines, rock-climbing, geladak matahari yang luas, permainan realiti maya terkini dan popular; pusat boling, pusat beli-belah bebas cukai, spa dan banyak lagi,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Jelasnya, pelancong boleh memilih pelbagai pilihan penginapan daripada Interior Staterooms hingga Oceanview dan Balcony Suites, termasuk penginapan mewah bertaraf dunia, “The Palace” yang memiliki restoran eksklusif, geladak matahari, gim, spa dan kemudahan lain.
Tambahnya, memandangkan keselamatan adalah keutamaan utama Resorts World Cruises, laluan pelayaran telah berjaya disiapkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan DNV, sejajar dengan piawaian kesihatan global serta garis panduan kebangsaan.
Presiden Resorts World Cruises, Michael Goh berkata, perkembangan itu adalah masa yang benar-benar mengujakan.
“Kami sangat teruja untuk menyaksikan permulaan Genting Dream sebagai sebahagian daripada jenama Resorts World Cruises, jenama pelayaran gaya hidup mewah dan dinamik baharu, bergabung dengan lebih lima dekad pengalaman global dalam kedua-dua hospitaliti dan pelayaran.
“Kami tidak sabar-sabar untuk mengalu-alukan pelancong di Genting Dream untuk merasai pengalaman “Resort Cruising on High Seas” dari Singapura, yang penuh dengan keseronokan, pilihan gaya hidup dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.” katanya. – AGENSI










