Duopharma Biotech perkukuh kedudukan

Duopharma Biotech perkukuh kedudukan

DARI kiri: Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid, Leonard Ariff Abdul Shatar dan Chek Wu Kong di AGM Kumpulan Duopharma.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad memulakan 2022 dengan kenaikan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 15 peratus kepada RM26.65 juta, di sebalik pengukuhan 12 peratus dalam perolehan bernilai RM185.94 juta dalam suku pertama tahun ini.

Syarikat peneraju farmaseutikal dan penjagaan kesihatan di Malaysia itu juga telah mengakhiri 2021 dengan rekod prestasi lima tahun yang memberangsangkan apabila mencatatkan perolehan sebanyak RM639.18 juta dan PBT bernilai RM82.98 juta, kenaikan 9.0 peratus daripada tahun sebelumnya.

Pengerusi Duopharma Biotech Group, Tan Sri Siti Sa’diah Binti Sh Bakir berkata, tahun lalu, kumpulan mengutamakan kesejahteraan kakitangan dan pihak berkepentingan.

“Bagi memastikan mereka selamat daripada jangkitan Covid-19, kami telah mempertingkatkan prosedur operasi standard berkaitan pandemik di kilang-kilang kami dan mengekalkan pembahagian operasi di pejabat.

“Kami kini sedang meneliti semula penerusan pilihan bekerja dari rumah (WFH) dan kaedah kerja norma baharu bagi mencapai keseimbangan kerja-kehidupan,” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kumpulan ke-21, semalam.

Dengan fokus global terhadap kemampanan dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini, kumpulan menggandakan usahanya sebagai sebuah warga korporat yang bertanggungjawab dengan terus memperkukuhkan platform amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) .

Antara langkah yang diambil termasuk komitmen Duopharma Biotech mencapai neutral karbon menjelang 2030 dan pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Satu proses pengurusan dan perakaunan gas rumah hijau telah dimulakan bagi mengurangkan pelepasan gas tersebut di peringkat kumpulan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, pihaknya telah mengemudi perniagaan mendepani pandemik dengan baik.

“Kami telah memulakan persediaan tindak balas kecemasan sebelum pandemik diisytiharkan dan masih mampu mengekalkan kadar produktiviti yang tinggi walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dan kerja-kerja naik taraf kilang dijalankan pada waktu sama.

“Melangkah ke depan, kumpulan akan meningkatkan fokus dalam mendigitalkan Duopharma Biotech. Sebagai sebahagian daripada usaha tersebut, Strategi Kesihatan Digital telah dibentuk untuk mengenal pasti peluang yang akan membenarkan kumpulan menyediakan penyelesaian terbaik di sepanjang rantaian nilai penjagaan kesihatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN