Dividen KWSP diunjur bawah 6% - Utusan Malaysia

Dividen KWSP diunjur bawah 6%

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan mengagihkan kadar dividen yang lebih rendah bagi 2022 berikutan pendapatan pelaburan lebih lemah yang dicatatkan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tahun ini, dividen KWSP dijangka merosot berbanding tahun lepas.

“Tahun lalu, 36 peratus daripada pulangan KWSP adalah dari pelaburan luar negara. Itu yang membantu KWSP untuk memberikan pulangan dividen yang baik untuk 2021 walaupun pasaran saham Malaysia tidak begitu baik.

“Namun, tahun ini, dividen KWSP dijangka merosot kepada 3.0 hingga 4.0 peratus kerana kedua-dua pasaran modal Malaysia dan global dijangka akan terus dilanda masalah krisis inflasi, kenaikan harga minyak mentah dan komoditi serta impak perang antara Russia dan Ukraine,” katanya.

Jelas beliau, pasaran kewangan dunia juga sedang melalui fasa mencabar, di mana kadar inflasi yang meningkat di luar jangkaan terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Ini berikutan kenaikan harga minyak mentah yang naik mendadak apabila perang Russia dan Ukraine meletus,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pihaknya menjangkakan kadar dividen KWSP untuk tahun ini kurang daripada 6.0 peratus.

“Untuk mengatasi masalah pendapatan yang susut, KWSP perlu meneruskan strategi peruntukan asetnya dengan mempelbagaikan portfolio pelaburan ke arah pelaburan yang boleh memberi pulangan yang lebih tinggi seperti ekuiti dan luar negara,” katanya. 

KWSP baru-baru ini mengumumkan jumlah pendapatan pelaburannya telah merosot kepada RM15.85 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM19.29 bilion yang dicatatkan semasa suku pertama tahun lalu, didorong kemerosotan ketara dalam pasaran dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pengurus dana persaraan itu memulakan awal suku pertama tahun ini dengan kukuh, tetapi keadaan berubah dengan mendadak apabila pasaran global mengalami kemerosotan, menyebabkan pulangan yang lebih rendah dalam bon dan ekuiti sepanjang baki suku berkenaan.

Beliau berkata, penurunan itu adalah disebabkan oleh beberapa perkembangan yang berpunca daripada ketegangan geopolitik serta kesan daripada kenaikan kadar inflasi dan kenaikan kadar faedah. 

“Perang antara Russia dan Ukraine hanya memburukkan lagi keadaan, menyebabkan ketidaktentuan terus berlanjutan pada masa negara-negara masih bergelut untuk pulih daripada beban hutang yang tinggi dan kewangan awam yang terjejas oleh krisis pandemik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN